PalestinSemasa

Dua Pegawai Kemanusiaan MAPIM di Gaza dibunuh israel

Dua pegawai kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terkorban dalam serangan udara yang berlaku di Gaza, Palestin, pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, Dato’ Sani Araby Al Kahery, pemergian As-Shaheed Shadi Afana dan As-Shaheed Saed Al-Ghafir merupakan kehilangan besar buat organisasi dan rakyat Malaysia yang menyokong usaha kemanusiaan di bumi Palestin.

“Berehatlah wahai sahabat-sahabat kami di syurga. Allah lebih mengasihi kalian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tragis itu berlaku berhampiran Hospital Al-Wafa, Gaza City, pada jam 12.30 tengah hari waktu tempatan, mengorbankan kedua-dua sukarelawan yang sejak sedekad lalu menjadi wakil MAPIM dalam menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

MAPIM mengutuk keras serangan tersebut yang disifatkan sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Pengorbanan mereka melambangkan keikhlasan dan keberanian yang luar biasa dalam perjuangan menentang kezaliman. Semoga Allah SWT menempatkan mereka di kalangan para syuhada dan memberikan kedudukan tertinggi di Jannah Al-Firdaus,” tambah Dato’ Sani.

Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus bersolidariti dan menekan pihak-pihak bertanggungjawab menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

“Hasbunallah wani’mal wakeel, katanya, menyerahkan urusan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Al-Fatihah buat As-Shaheed Shadi Afana dan As-Shaheed Saed Al-Ghafir.

Related Articles

Back to top button