DENGKIL: Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Ahmad Sani Dato’ Abdul Alim Araby, dinobatkan penerima ‘Selempang Khalifah Ulung‘ daripada Yayasan Al Jenderami (YAJ) pada Sabtu dalam Majlis Memperingati Nabi Muhammad SAW & Haul Masyaikh 1444H/2022M dan Majlis Penganugerahan Selempang anjuran YAJ serta Madrasah Islamiah Jenderami.
Selempang itu dikalungkan oleh YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin sebagai menghargai jasa serta pengorbanan beliau dalam pembangunan Ummah dalam dan luar negara.
Antara intipati ucapan Penasihat merangkap pengasas Yayasan Al-Jenderami , Al-Fadhil Sheikh Hj Mohd Hafidz B. Hj Selamat adalah perihal kepentingan Ulama dan Umarak dalam pembangunan Ummah berlandaskan ciri kepimpinan unggul Baginda Rasulullah SAW.
Majlis penganugerahan yang dihadiri kira-kira 7,000 hadirin termasuk Ulama-ulama Nusantara itu berlangsung serentak bersama dengan Majlis Maulid Akhbar Memperingati Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW dan Majlis Haul Masyaikh Al Jenderami.
Majlis turut menyaksikan pemakaian Selendang Khalifah Agung kepada Presiden Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia, Dato Haji Fairus Hussain, Presiden Perkid Malaysia, Saudara Yusuff Azmi selaku Presiden Semboyan dan beberapa tokoh perjuangan seni silat, masyarakat dan pembela Ummah dalam negara.