Covid19Semasa

34 Mukim di Selangor tamat PKPD

Tiada lagi PKPD di lapan daerah Selangor

PUTRAJAYA : Bermula semalam 34 mukim di Selangor yang menjalani pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat pada jam 11.59 malam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, keputusan itu dimuktamadkan berdasarkan situasi semasa ketika sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Pada 3 Julai lalu, sebanyak lapan daerah di Selangor membabitkan 34 mukim diarahkan PKPD ekoran negeri itu menjadi penyumbang terbesar kes jangkitan Covid-19.

Walaubagaimanapun, Ismail dalam sidang media khas MKN bersetuju melaksanakan PKPD di 13 kawasan di Kuantan bermula 18 Julai hingga 31 Julai.

Kawasan yang terlibat adalah Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sg Derhaka, Kempadang, Sg Soi, Kg Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Indera Sempurna, Taman Tas & Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum, dan Taman Impianku.

Sementara itu, tiga lokaliti di Sarawak turut dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama iaitu Kampung Seratau, Kampung Astana Lot dan Kampung Sungai Bedil Besar.

Turut dilaksanakan PKPD bagi tempoh yang sama adalah Damai Apartment yang terletak di Petaling Jaya.

Selain itu Jalan Pandan Indah di Hulu Langat, Jalan Batu Nilam di Klang dan Taman Samudera di Gombak turut dikenakan PKPD.

“Ladang Sawit KLK Lungmanis, Perumahan Kilang di Lahad Datu dan Kampung Pinolobuh Bukit di Kota Belud Sabah turut menjadi kawasan yang dilaksanakan PKPD sehingga 31 Julai nanti.

“Taman Chengal, Temerloh juga dilaksanakan PKPD,” kata Ismail.

Ujarnya, PKPD di Kampung Siasai Dundau di Kota Belud dan Kampung Naruntung di Pitas Sabah akan dilanjutkan sehingga 31 Julai 2021.

Oleh : Nurshazlin Shahrom 

Related Articles

Back to top button