DuniaSemasa

Dituduh sebagai ekstremis, Ustaz Abdul Somad dihalang dari masuk ke Singapura

SINGAPURA : Figura dakwah popular dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad dilarang masuk ke negara Singapura atas dakwaan beliau seorang pelampau.

Menurut laporan Channel News Asia (CNA), pihak Kementerian Dalam Negeri Singapura juga mengesahkan enam individu yang sampai bersama Abdul Somad menerusi terminal feri Tanah Merah dihantar pulang ke negara asal.

Kementerian tersebut menganggap Abdul Somad sebagai ekstremis serta pendukung pemisahan ekoran ceramahnya yang menceritakan mengenai pengebom bunuh diri dibolehkan dalam konteks Israel-Palestin dan dikira sebagai mati syahid.

Susulan sekatan itu, Abdul Somad dihantar semula ke Batam, Indonesia.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Somad memohon penjelasan daripada pihak Singapura sendiri berkenaan tindakan menghalaunya dari negara itu yang beliau sifatkan republik itu sebagai sombong.

Beliau turut berkongsi melalui laman Instagramnya sendiri mengenai perkara tersebut yang menyatakan beliau seolah-olah berada di dalam penjara sebelum diusir.

“UAS (Abdul Somad Somad) di ruang 1×2 meter seperti penjara di imigrasi, sebelum dideportasi dari Singapura,” tulis UAS di media sosialnya.

Dakwa Abdul Somad, beliau menjadi mangsa percaturan politik menjelang pilihan raya presiden Indonesia.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama beliau diperlakukan seperti sedemikian kerana sebelum ini, negara pertama yang menghalang kemasukan Abdul Somad adalah Hong Kong pada Disember 2017.

Singapura menjadi negara keenam menghalang kemasukan pendakwah bebas itu.

Antara negara yang pernah menghalang Ustaz Abdul Somad untuk masuk bagi menyampaikan dakwah adalah Switzerland, Thailand, Jerman dan Timor Leste.

– AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button