Walaupun sudah dua tahun berlalu, Hussam Owais yang berusia 14 tahun masih mengingati hari di musim panas apabila tentera Israel menangkapnya ketika dia dalam perjalanan ke sekolah di bandar Lubban di Tebing Barat yang dijajah.
Hossam berumur 12 tahun ketika itu, pelajar darjah enam. Dia dihantar ke pusat tahanan Israel.
Banyak sekolah di Tebing Barat disekat oleh tentera Israel dan peneroka Yahudi dengan menghalang pergerakan pelajar dan guru hampir setiap hari.
Walaupun ia dianggap sebagai pencabulan hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan, israel masih mengamalkan dasar ini.
“Sesetengah askar mula menghalang jalan saya, menghina, dan cuba menghalang semasa saya berjalan. Saya cuba melarikan diri daripada mereka, tetapi mereka mengejar dan menahan saya di sebelah sekolah,” kata Hussam.
Tentera menuduh Hussam melempar batu ke arah mereka beberapa hari sebelum penahanannya. Dia menghabiskan tujuh jam dalam tahanan sehingga majlis kampung merundingkan pembebasannya.
“Saya sangat takut. Mereka membelasah saya dan memaksa saya mengaku membaling batu ke arah mereka, tetapi saya menafikan,” katanya.
Sekolah Asas Campuran Lubban, yang terletak di jalan utama antara bandar Nablus dan Ramallah, sentiasa terdedah kepada serangan tentera dan peneroka haram israel.
Menurut ketua majlis kampung, Yaqoub Owais, peneroka haram Zionis menggunakan ancaman, ugutan, paksaan dan keganasan terhadap pejalan kaki Palestin, termasuk pelajar, ketika mereka melalui jalan utama menuju ke sekolah. Polis dan tentera Israel, kata Owaid, menggalakkan pencerobohan sedemikian dan memberi perlindungan penuh kepada peneroka ganas. Para peneroka haram sering membaling batu ke arah harta benda sekolah dan memecahkan pintu dan tingkapnya.
Owais berkata tiada seorang pun penyerang pernah ditangkap oleh polis israel.
“Sepanjang tahun 2021, sekolah ditutup selama 85 hari akibat gangguan askar dan peneroka haram. Pada 2022 ia ditutup selama 76 hari atas sebab yang sama,” katanya.
“Mereka masih cuba menghalang pendidikan dalam apa cara sekalipun dan menghalang akses pelajar kepadanya.”
Beberapa kali, askar melepaskan bom gas ke halaman sekolah, menyebabkan sebilangan besar kanak-kanak dan guru lemas.
Tentera dan peneroka haram israel sering membuat sekatan di jalan utama, yang menghalang kanak-kanak daripada ke sekolah.
Dua beradik itu, Ramez berusia 11 tahun dan Murad Al Sharif, 10 tahun menghadapi masalah yang sama tetapi di kawasan lain.
Kedua-duanya mendaftar di Sekolah Asas Qurtuba di Kota Lama Hebron, selatan Tebing Barat yang dijajah. Setiap pagi mereka perlu melalui dua pusat pemeriksaan tentera israel untuk sampai ke sekolah mereka, iaitu kira-kira 10 minit berjalan kaki dari rumah.
“Ketika kami melalui pusat pemeriksaan berhampiran Masjid Jabal al-Rahma dan pusat pemeriksaan di hadapan penempatan Dabbuya, askar menggeledah beg kami dan mencari nama kami dalam daftar yang selalu mereka bawa,” kata Ramez kepada TRT World.
Sekolah ini terletak di Jalan Shuhada, yang dianggap sebagai “jantung berdegup” Hebron. Jalan itu ditutup oleh Israel 29 tahun lalu
Tentera Israel mengambil gambar setiap hari pelajar dan guru ketika mereka sampai ke pusat pemeriksaan tentera di pintu masuk sekolah. Ia bergantung pada mood askar bila hendak membuka pintu besi dan bila hendak menutupnya. Kebanyakan pelajar dan guru merasakan sekolah mereka telah dijadikan sangkar.
“Ada kalanya askar enggan membuka pintu pagar pada waktu pagi dan menahan kami selama berjam-jam. Ada kalanya mereka menahan guru dan menghalang mereka daripada memasuki premis sekolah,” kata Ramez.
“Kami berasa sangat takut dan berharap dapat memasuki sekolah kami tanpa halangan seperti kanak-kanak lain di dunia”.
Peneroka haram adalah satu lagi penghalang kepada akses pelajar ke sekolah ini, kata Murad, sambil menambah bahawa mereka selalu berada di kawasan sekitar dan menyerang kanak-kanak.
“Peneroka berada di jalan raya sepanjang masa. Mereka membaling batu ke arah kami, menghina dan cuba mengaibkan kami,” kata Murad.
Walaupun mengharungi keadaan yang mengancam mereka, Ramez dan Murad berkata mereka menyayangi sekolah mereka dan tahu israel cuba mendorong pelajar Palestin meninggalkan pendidikan mereka.
Sekolah Tariq Bin Ziyad, yang terletak berhampiran Sekolah Cordoba, juga sering menerima serangan berterusan israel, termasuk tembakan gas pemedih mata yang menyebabkan berpuluh-puluh pelajar sukar bernafas.
Kementerian Pendidikan Palestin mengesahkan bahawa taktik penindasan israel yang mensasarkan kanak-kanak Palestin yang bersekolah di Tebing Barat berterusan tanpa henti.
Pada musim luruh 2022, kementerian mengeluarkan laporan yang menunjukkan tentera Israel telah membunuh 18 pelajar sekolah, mencederakan 74, menangkap 183 dan menahan 64 dengan sewenang-wenangnya, sambil menghalang 18,155 pelajar daripada ke sekolah mereka pada tahun itu sahaja.
Menurut kementerian, serangan terhadap pendidikan juga memberi kesan kepada guru. Pada 2022, dua guru terbunuh, 17 ditangkap, 20 ditahan, dan 2,764 dihalang daripada sampai ke sekolah mereka.
Sekurang-kurangnya 295 serangan peneroka haram ke atas sekolah Palestin telah direkodkan pada 2022, menjejaskan 85 sekolah dan menghalang ratusan jam kerja.
Israel mengugut 18 sekolah mengenai perobohan, merobohkan satu, dan menarik balik lesen enam sekolah, semuanya dalam tempoh satu tahun seperti yang direkodkan oleh Kementerian.
Izz al-Din al-Titi, 26, adalah seorang guru di Sekolah Rendah Khallet al-Dabaa di Masafer Yatta, selatan Hebron. Semua sekolah di kawasan ini dicabul keamanannya oleh israel dengan tujuan mengawal dan menghalau penduduk dari situ.
Dia memberitahu TRT World bahawa dia dan pelajarnya mengambil masa satu setengah jam untuk sampai ke sekolah kerana jalan berlubang dan tidak dibenarkan dibaiki oleh israel, memaksa guru dan pelajar berjalan beberapa kilometer.
“Sekolah itu, seperti semua sekolah di kawasan ini, telah diancam untuk dirobohkan sejak lima tahun lepas, dan kami sentiasa takut ia akan dirobohkan pada bila-bila masa. Kadang-kadang askar menceroboh dan mengarahkan kami keluar, jadi kami terpaksa mengajar di luar,” tambahnya.
Sekolah itu hanya terdiri daripada dua bilik dengan koridor di antara mereka, dibina daripada zink, dan elektrik sengaja diputuskan, menjadikannya panas pada musim panas dan sangat sejuk pada musim sejuk.
Hanya sembilan pelajar dari kampung ini belajar di sana kerana kesukaran yang dikenakan oleh israel.
Tetapi semua taktik ini gagal untuk menghalang pelajar Palestin daripada meninggalkan pendidikan mereka. Sebaliknya, mereka menjadi lebih berazam untuk belajar.
Hasilnya, Palestin telah muncul sebagai negara yang mempunyai kadar celik huruf tertinggi di dunia Arab. Biro Perangkaan Pusat Palestin mendedahkan pada 8 September bahawa kadar buta huruf di Palestin adalah antara yang terendah di rantau ini iaitu “2.2 peratus pada 2022.”
SUMBER: TRT WORLD