DuniaSemasa

Danny Fenster dibebaskan dari penjara Myanmar

YANGON : Wartawan Amerika Syarikat, Danny Fenster telah dibebaskan dari penjara di Myanmar, tiga hari selepas dijatuhi hukuman penjara 11 tahun atas pertuduhan pelanggaran undang-undang imigresen dan “keganasan”.

Bekas diplomat AS, Bill Richardson berkata bahawa Fenster telah diserahkan kepadanya di Myanmar dan tidak lama lagi akan dalam perjalanan pulang melalui Qatar.

Beliau telah mengadakan perundingan untuk pembebasan Fenster semasa lawatan ke Myanmar baru-baru ini apabila beliau mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Jeneral Kanan tentera Myanmar, Min Aung Hlaing.

Penerbit Frontier Myanmar, majalah dalam talian yang diusahakan oleh Fenster sebelum penahanannya, turut mengesahkan pelepasan itu.

Sementara itu, sumber kerajaan memberitahu agensi berita AFP bahawa Fenster “sedang dibawa” ke ibu kota Naypyidaw dari Yangon dan akan dihantar pulang.

Untuk rekod, sehingga kini, sekurang-kurangnya 1,250 orang telah terbunuh dalam pergolakan di negara itu dan lebih 10,000 telah ditahan, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik, yang telah memantau keadaan.

Sejak mengambil alih kuasa, tentera junta juga telah mengenakan sekatan internet, menutup televisyen satelit dan membatalkan lesen penerbitan media beberapa organisasi berita bebas Myanmar.

Kira-kira 100 wartawan telah ditahan sejak Februari, dengan kira-kira 30 masih dalam penjara.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button