YAN: Mana-mana rakyat Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand diingatkan supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan mereka apabila kembali ke tanah air.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar berkata, pendaftaran itu perlu dilakukan bagi mengelakkan tercetus sebarang masalah pada masa depan.
Menurut Syeikh Ahmad Faisol, pendaftaran segera ini penting kerana terdapat sebilangan kes pernikahan di negara jiran yang tidak sah termasuk ada lelaki yang berkahwin dengan isteri orang yang masih di dalam edah.
“Sah atau tidak sah itu bergantung kepada siasatan oleh pendaftar nikah. Kita (akan) tengok keterangan dari segi wali, jurunikah di sana… adakah dia bertauliah.”
“Perkahwinan itu akan diputuskan oleh pendaftar nikah, kebanyakkannya (pernikahan) sah, cuma ada dalam kes kahwin di sana ada lima hingga enam peratus tidak sah.”
“(Perkahwinan tidak sah) itu berkaitan dengan wali atau wali hakim yang tidak bertauliah. Ini antara perkara yang tak sah dan ada setengah kes juga kahwin bini orang yang tidak habis edah lagi,” jelas Syeikh Ahmad Faisol.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Menuai Padi Musim 1/2023 Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SSBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Padang Lumat, di sini, hari ini.Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Mengulas lanjut, Syeikh Ahmad Faisol berkata, selepas pandemik COVID-19 dalam tempoh dua tahun, kes pendaftaran nikah di pejabat itu kembali meningkat secara purata 15 kes sebulan.
Katanya, kes-kes membabitkan pernikahan di Thailand terbahagi kepada tiga kesalahan iaitu kesalahan bernikah tanpa kebenaran bagi individu yang belum berkahwin atau bujang.
Sementara bagi kesalahan kedua pula adalah berpoligami tanpa kebenaran dan lewat mendaftarkan pernikahan. Mereka yang melakukan kesalahan ini akan didenda sebanyak RM1,000 melainkan yang berpoligami tanpa kebenaran akan didenda RM3,000.
“Mereka yang nikah poligami ini orang banyak duit, dia mampu bayar tetapi secara kesimpulannya orang (lelaki) yang pilih bernikah di Siam ini orang yang tidak tahu malu sebab dia membelakangkan ibu bapa dan isteri pertama,” tegas beliau lagi.
Dalam masa sama, Syeikh Ahmad Faisol turut menasihati orang ramai berwaspada dengan tawaran oleh sindiket pernikahan supaya tidak tertipu dan menyebabkan perkahwinan mereka tidak sah.
Katanya, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan di Thailand perlu membuat perancangan supaya perkahwinan itu sah dari segi undang-undang agama negeri masing-masing. Sumber AWANI
BACA JUGA
Ketahui kesan jangka masa akan datang jika menikah di Thailand