BanjirSemasa

BALING BANJIR: Kerajaan peruntuk RM500,000 bantu mangsa banjir kilat di Baling

KUALA LUMPUR : Sejumlah RM500,000 bantuan awal diperuntukkan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu meliputi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; bantuan barang keperluan asas sebanyak RM2,500; bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 dan pembaikan rumah.

“Saya yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan TYT Recep Tayyip Erdogan, Presiden Tukiye, telah menerima berita duka mengenai banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak di Baling, Kedah pada petang semalam,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyelaraskan bantuan segera kepada semua 1,490 mangsa banjir yang melibatkan 112 KIR itu.

Perdana Menteri berkata BWI telah diberikan menerusi Setiausaha Politik beliau iaitu Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua KIR termasuk tiga waris mangsa yang maut sebanyak RM10,000 seorang.

Dalam pada itu, semua agensi kerajaan terlibat agar mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa tragedi itu mempunyai tempat berteduh yang selesa selepas ini.

Perdana Menteri berkata bantuan lain akan segera menyusul termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek tebatan banjir yang kritikal.

“Dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri, saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button