PARIS: Sebanyak 464,779 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam di Perancis, semalam.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Perancis, secara purata, sepanjang minggu lalu, kes baharu COVID-19 di negara itu mencatat lebih 300,000 kes sehari akibat varian Omicron.
Kesatuan Guru Perancis turut bercadang mengadakan demonstrasi minggu ini, bagi membantah ujian saringan COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin kerana sesi pembelajaran di kelas akan terganggu.
Kerajaan Perancis juga dituduh gagal mewujudkan peraturan jelas bagi memastikan jumlah sebenar pelajar yang boleh berada di sekolah.
“Gangguan di kelas menjadi tidak terurus dengan penularan varian Omicron menyebabkan ramai ibu bapa bergelut mendapatkan temujanji vaksin untuk anak mereka dan terpaksa beratur panjang untuk ujian saringan di luar farmasi,” katanya.
Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan menyediakan lima juta pelitup muka kepada kakitangan sekolah serta mengupah lebih 3,000 guru ganti bagi menggantikan mereka yang terpaksa melakukan kuarantin akibat dijangkiti COVID-19 atau suspek kontak rapat. – AFP
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today