KUALA LUMPUR : Sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara Malaysia, kebanyakan masyarakat dipercayai terkesan dari segi emosi mahu pun mental, lebih keruh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan menekan masyarakat secara amnya.
Menurut makluman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan sejak 25 Mac 2020 mendapati, majoriti pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.
Dilaporkan daripada 1 Januari 2021 sehingga 18 Jun 2021, sebanyak 122,328 panggilan diterima, daripada jumlah tersebut 109,806 panggilan diterima bersamaan 89.4 peratus masalah berkait rapat dengan masalah kehilangan punca pekerjaan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumahtangga melibatkan pertengkaran, perpisahan dan penderaan.
Sebagai langkah membantu golongan terkesan ini, KKM menjalankan beberapa inisiatif menangani gejala tekanan antaranya, usahasama KKM dan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan psikososial yang berpusat di CPRC, KKM.
Talian bantuan ini khusus dikendalikan oleh barisan pegawai psikologi kaunseling KKM dibantu sukarelawan pegawai psikologi lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kumpulan sasar merangkumi individu dalam perhatian (PUS) di Stesen Kuarantin dan di rumah, pesakit COVID-19 di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), petugas kesihatan dan agensi lain yang bertugas dalam menangani wabak serta ahli keluarga kepada individu yang meninggal akibat COVID-19,” -Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah/ Ketua Pengarah Kesihatan
“Tekanan ini akan menjadi masalah jika berpanjangan atau menjejaskan fungsi harian individu terbabit. Segeralah dapatkan penilaian psikiatri jika ini berlaku. Perlu diingatkan bahawa kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal serta pencegahan pada peringkat awal dapat membantu,” – Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah/ Ketua Pengarah Kesihatan
Oleh : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)