SEREMBAN: Bertukar status Zon Merah, sejumlah 199 institusi pendidikan Islam di Seremban ditutup selama dua minggu mulai hari ini hingga 9 November depan.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli, berkata penutupan itu membabitkan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan Kelas Agama Petang (KAP) yang beroperasi di premis Kementerian Pendidikan (KPM).
“Sekolah dan institusi pendidikan Islam yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil pelajar atau murid yang tinggal di asrama pulang ke rumah masing-masing.”
“Mereka yang belum diambil ibu bapa perlu berada dalam penjagaan dan pemantauan pentadbir sekolah atau warden, manakala yang kekal di asrama tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah.”
“Keperluan bagi makan dan minum sepanjang tempoh penutupan akan disediakan oleh pentadbir sekolah,” katanya kepada media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata pentadbir sekolah khususnya bagi yang menjalankan KAFA perlu memastikan guru menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.
“Jabatan akan terus memantau dan sentiasa prihatin terhadap usaha pencegahan bersama-sama pihak berwajib dalam menangani penularan wabak COVID-19,” katanya.