PUTRAJAYA : Negara kita sekali lagi dikejutkan dengan catatan kes harian positif Covid-19 tertinggi sejak Mei 2020 dengan 19,819 kes baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes secara mendadak itu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 1,183,110 kes.
Katanya, semua negeri mencatatkan pertambahan kes dengan lima negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu Selangor dengan 8,377 kes, Kuala Lumpur (2,467), Kedah (1,371), Johor (1,162), dan Kelantan (1,003).
Negeri lain yang mencatatkan kes baharu hari ini adalah Sabah dengan 949 kes, Pulau Pinang (867), Negeri Sembilan (800), Perak (662), Pahang (558), Melaka (508) dan Terengganu (481).
Selain itu ialah Putrajaya dengan 46 kes, diikuti Perlis (11) dan Labuan (lima), katanya menerusi Facebook, hari ini.
Orang ramai terus dinasihatkan untuk terus menjalankan kawalan kendiri untuk melumpuhkan rantaian jangkitan Covid-19.
Oleh : A.Azfar