Semasa

‘Tiada isu peletakan jawatan’ – Muhyiddin

KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara berkenaan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatiddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis menghadapt di Istana Negara, pagi ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya menerusi Perutusan Khas secara langsung hari ini.

Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan jika Perdana Meneri tidak lagi mendapat keercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin berkata beliau juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan.

Sehubungan itu, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Muhyiddin turut berkata Jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

Terdahulu, pada permulaan Perutusan Khas itu, Muhyiddin memohon maaf kepada rakyat di atas kemelut politik yang melanda di saat negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19.

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada saudara dan saudari sekalian kerana dalam keadaan negara kita sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, saya terpaksa tampil menjelaskan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sebentar tadi.

Beliau turut menjelaskan untuk tidak mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan dalam menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

“Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh Allah dan kepada-Nya jua kita berserah,” katanya.

– BERNAMA

Oleh Hafeez Anuar

 

 

Related Articles

Back to top button