DomestikSemasa

CIQ sesak, pekerja Malaysia – Singapura kembali bekerja

JOHOR BAHRU: Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dipenuhi oleh ribuan pekerja Malaysia yang mahu pulang bekerja di Singapura sejak jam 8 malam tadi hingga awal pagi tadi.

Ia selepas lebih seminggu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu.

Sejak malam tadi, beberapa kumpulan facebook pekerja Malaysia – Singapura memuat naik gambar ribuan pekerja Malaysia yang beratur sehingga di tepi jalan utama CIQ bagi Kembali bekerja ke republik itu secara berulang-alik.

Rata-rata mereka turut memuat naik dan berkongsi pengalaman mereka beratur antara satu jam setengah sehingga hampir tiga jam sebelum berjaya melepasi pemeriksaan di CIQ BSI dan Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura

Hampir kesemua mereka masuk ke Singapura dengan berjalan kaki manakala yang lain menggunakan perkhidmatan bas.

Kebanyakan pekerja Malaysia memberi komen supaya lebih banyak QR Code diletakkan di sekitar CIQ BSI agara barisan tidak terlalu Panjang dan kaunter Imigresen dibuka lebih banyak bagi mempercepatkan urusan pemeriksaan.

Pekerja Malaysia di Singapura, Yan Sofian Mustafa, 36, yang bekerja sebagai juruteknik di republik itu antara ribuan yang beratur menaiki bas ke republik itu bagi memulakan tugas.

Yan Sofian berkata, permohonan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) masih belum diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, dan beliau terpaksa menggunakan perkhidmatan bas.

“Saya sudah menghantar permohonan namun berlaku kesilapan teknikal sehingga menyebabkan kelulusan VEP belum diluluskan LTA Singapura.

“Buat masa ini saya akan berulang-alik pada setiap hujung minggu sehinggalah VEP saya diluluskan. Apabila diluluskan bolehlah saya kembali berulang alik menaiki motosikal setiap hari.

“Ribuan pekerja Malaysia yang beratur di CIQ BSI pun adalah sebahagiannya VEP kenderaan mereka masuk ke Singapura masih belum diluluskan. Sebab itulah suasana di CIQ BSI sesak luar biasa sejak jam 8 malam tadi manakala laluan motosikal langsung tidak sesak setakat ini,” katanya.

Ribuan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu, akhirnya Kembali ke tanah air pada 1 April bermula jam 12.01 tengah malam tersebut.

Tinjaun pada awal pagi  1 April mendapati lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang pulang melintas tambak sejauh 2.5 kilometer dengan menaiki basikal dan berjalan kaki beramai-ramai di Tambak Johor.

Di Tambak Johor kelihatan deretan motosikal dan kereta beratur dengan sabar di laluan masing-masing sambal menunggu giliran untuk kembali ke tanah air.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja Malaysia di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, berkata menjelang akhir bulan ini,  kebanyakan pekerja Malaysia dijangka akan mula berulang-alik menaiki motosikal.

Katanya, permohonan VEP sudah diluluskan sejak seminggu lalu, membolehkannya berulang-alik menaiki motosikal untuk bekerja.

“Kesesakan luar biasa di CIQ sejak malam tadi kerana masih ramai pekerja Malaysia yang belum diluluskan permohonan VEP mereka. Namun apabila permohonan kebanyakan mereka sudah diluluskan, kesesakan akan beralih ke laluan motosikal semula.

“Kebanyakan yang pulang sejak petang dan malam tadi juga masih mempunyai kontrak sewa bilik di Singapura menyebabkan ramai yang bertolak seawal petang bagi mengelakkan menempuh kesesakan luar biasa pagi ini pula.

“Kebanyakan rakyat Malaysia juga lebih gemar berjalan kaki dari CIQ JB ke Singapura kerana lebih mudah dan cepat berbanding menaiki bas yang memerlukan masa lebih lama sedikit bagi pemeriksaan di laluan Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Imigresen telah mengambil tindakan segera untuk mengurangkan kesesakan di CIQ BSI sejak malam tadi.

“Saya juga telah turun padang untuk melihat keadaannya sendiri.

“Saya mohon maaf di atas segala kesulitan dan kekhilafan yang berlaku. Kita akan perbaiki lagi sistem sedia ada supaya perkara ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button