“Chilling” hujung minggu di Sungai Chiling
Keresahan hati mampu hilang apabila melihat air sungai yang mengalir tenang, diiringi dengan rasa syukur melihat betapa indahnya ciptaan Allah S.W.T.
Setelah penat menghadap kerja yang tidak berpenghujung, akhirnya penulis membuat keputusan bagi mencuri sedikit masa untuk keluar mencari ketenangan pada hujung minggu. penulis lakukan sedikit carian di Internet tentang tempat menarik di sekitar Selangor.
Pencarian akhirnya menemukan penulis dengan tempat yang menjadi tarikan di Kuala Kubu, iaitu Air Terjun Sungai Chiling.
Penulis mengambil peluang pada hujung minggu untuk melawat tempat tersebut yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Kuala Kubu Bharu atau sekitar 70 kilometer dari Kuala Lumpur.
Kawasan ini sudah menjadi destinasi rekreasi yang popular, maka tidak hairanlah ia sentiasa padat dengan orang ramai setiap kali tibanya hujung minggu atau cuti umum.
Bagi anda yang mungkin pertama kali ingin merasai pengalaman berkelah atau menyeberang sungai, Sungai Chilling terletak di laluan perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser.
Setelah melalui pintu gerbang masuk, anda diwajibkan mencatat maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon serta membayar yuran kemasukan RM1 seorang.
Cabarannya bermula apabila anda perlu melepasi enam anak sungai pada kedalaman paras peha hingga pinggang orang dewasa dengan aliran airnya yang agak deras. Batu-batu pejal pelbagai saiz pada dasar dan permukaan sungai ini dipenuhi pasir atau lumut membuat setiap orang perlu berhati-hati apabila memijaknya.
Pengalaman penulis sendiri pun yang bukanlah seorang yang berani sangat, risau kalau-kalau terjatuh atau tergelincir kerana jalannya boleh tahan licin. Alhamdulillah, dengan langkah berhati-hati tanpa terburu-buru, akhirnya berjaya juga sampai ke destinasi.
Selepas hampir dua jam berjalan dan meredah sungai, barulah tiba di air terjun Sungai Chiling yang mempersonakan. Limpahan air terjun mengalir dari celah-celah batu granit menghasilkan deruan bunyi kuat. Lebih menyeronokkan lagi anda boleh bermandi-manda sambil ‘bermain’ dengan ikan kelah yang banyak terdapat di Sungai Chiling.
Ikan kelah menggigit manja kaki terasa seperti berada di spa ikan di pusat beli-belah. Pada masa yang sama dapat melihat keindahan alam semula jadi yang hijau mendamaikan.
Selain itu, pengunjung dinasihatkan membeli makanan ikan yang dijual di pondok pengawal. Ia sebagai pelengkap kenangan indah yang anda rakam sebaik berpeluang memberi makanan kepada spesies ikan kelah itu.
Jadi, kepada anda yang mungkin sedang buntu mencari destinasi untuk melancong atau membawa keluarga bersiar-siar pada hujung minggu atau cuti umum, maka saya sarankan anda untuk cuba datang ke Sungai Chiling ini bagi berkelah dan menikmati suasana damai kehijauan pokok dan bunyi aliran air sungai yang menenangkan.
Sungai Chiling diuruskan Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8 pagi hingga 4.30 petang.