Semasa

Caj RM1 transaksi ATM berkuatkuasa semula esok

PETALING JAYA : Pembayaran caj transaksi pengeluaran sebanyak RM1 akan dikuatkuasakan semula menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bermula esok.

Pengumuman itu dibuat beberapa bank seperti CIMB Bank, Citibank, Maybank, dan RHB Bank menerusi platform media sosial mereka sejak bulan Disember lalu dengan mengatakan caj itu kembali dikenakan bermula 1 Februari ini.

Menurut hantaran di Facebook, Maybank telah menyatakan bahawa mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” demikian menurut bank itu.

Dalam pada itu, CIMB menjelaskan, caj transaksi RM1 akan dikenakan ke atas pengeluaran wang tunai antara bank untuk transaksi dilakukan di ATM melibatkan bank selain CIMB Bank atau CIMB Islamic bermula 1 Februari.

Terdahulu kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button