Semasa

Caj perjalanan bagi kenderaan Singapura dikecualikan sehingga 7 April

BATU PAHAT : Sebanyak 191,293 permohonan kemasukan kenderaan persendirian dari Singapura telah diterima susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang bermula, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah kebenaran masuk bagi pengguna yang memiliki dan memasang sistem Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) untuk tujuan bayaran caj perjalanan hanya 65,000.

Beliau memberitahu bahawa kebenaran bagi kenderaan tanpa RFID memasuki negara ini dilonggarkan selama tujuh hari bermula hari ini.

“MOT beri masa sehingga 7 April depan untuk mereka memasuki Malaysia tanpa sebarang caj perjalanan, namun bermula 8 April mereka perlu mendapatkan RFID. Jika tidak mereka akan dikenakan tindakan atau tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya memahami sempadan Malaysia-Singapura masih belum dibuka menyebabkan pemasangan RFID tidak dapat dilakukan.

“Saya berharap dalam tempoh tujuh hari ini mereka dapat ambil peluang untuk memasangnya,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 2,700 pegawai dan anggota JPJ ditugaskan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk kenderaan dari Singapura ke negara ini.

-BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button