DuniaSemasa

Bunyi muzik terlalu kuat, 63 ekor ayam mati diserang sakit jantung

BHUBANESWAR : Sebanyak 63 ekor ayam mati akibat pesta perkahwinan India yang memainkan muzik rancak, persembahan bunga api, tarian dan pancaragam.

Ranjit Kumar Parida berkata, muzik dimainkan terlalu kuat sehingga dapat didengari di ladang ayamnya yang terletak di Odisha.

“Saya telah menyuruh pengendali kumpulan muzik itu untuk memperlahankan bunyi kerana terlalu bising sehingga menakutkan ayam saya.

“Walau bagaimanapun, mereka seolah-olah tidak mengendahkan permintaan saya dan seorang rakan pengantin lelaki memarahi saya,” katanya kepada AFP.

Dalam pada itu, seorang doktor veterinar memaklumkan Parida bahawa ayam-ayamnya mati disebabkan mengalami serangan jantung dan dia kemudian membuat laporan polis selepas penganjur majlis enggan membayar pampasan.

Profesor Zoologi, Suryakanta Mishra, yang menulis buku berkaitan kelakuan haiwan berkata, risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan burung adalah tinggi jika mereka mendengar bunyi yang terlalu kuat.

“Ayam dikawal oleh irama yang dipengaruhi cahaya semula jadi atau kitaran cahaya siang dan malam.

“Keseronokan atau tekanan secara tiba-tiba akibat muzik yang kuat boleh mengganggu jam biologi mereka,” kata Mishra.

Bagaimanapun, selepas campur tangan pihak polis, penganjur majlis bersetuju untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan pemilik ayam juga sudah menarik laporan.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button