Bantuan MAPIM Di GazaPalestin

Bukan senang nak masuk ‘penjara terbesar di dunia’!

Perkongsian liku-liku cemas dan lelah, lepasi sempadan Rafah

KAJANG : NGO Malaysia adalah antara NGO yang dihormati dan disegani di Gaza. NGO Malaysia bukan sahaja terkenal dengan kesungguhan dalam membangunkan kembali Palestin, terutamanya di wilayah Gaza, tetapi yang paling utama adalah ketika menunjukkan solidarati untuk rakyat Palestin. NGO Malaysia tidak pernah terkebelakang dalam hal ini, sentiasa di hadapan.

Sekiranya mahu dibandingkan wang ringgit, sumbangan negara-negara Arab jauh meninggalkan jumlah sumbangan NGO-NGO di Malaysia walaupun semua sumbangan NGO Malaysia tadi digabungkan. Tetapi untuk penduduk Palestin, NGO Malaysia tetap di hati mereka kerana NGO Malaysia tidak pernah segan dan takut dalam menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Namun, untuk menunjukkan solidariti dan sokongan, tidak cukup sekadar memberi bantuan. Batang tubuh orang di sebalik NGO-NGO tadi sendiri perlu hadir ke Palestin, terutamanya Gaza bagi menunjukkan solidariti. Itulah sebab utama NGO Malaysia cuba memasuki Gaza, walaupun Gaza terkenal sebagai penjara terbuka terbesar di dunia. Untuk memasukinya, ia sangat sulit. Bayangkan, gelarannya sendiri adalah ‘penjara terbuka terbesar di dunia’, jadi adakah mudah untuk masuk ke ‘penjara’? Pasti tidak.

Dalam satu temubual di rancangan The Amin Idris Show, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia antara NGO Malaysia yang dekat di hati penduduk Gaza, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery berkongsi cabaran yang dihadapi bagi memasuki Gaza. Pada tahun 2019, terdapat 40 checkpoints yang perlu dilepasi dan semuanya dikawal ketat oleh tentera elit Mesir.

The Amin Idris Show
(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM dan Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia

“Walaupun sudah ada surat pelepasan daripada kerajaan Mesir sekali pun, separuh jalan, kami disuruh pulang sebab ia adalah kawasan merah dan kuasa muktamad terletak di tangan tentera Mesir. Kebenaran sudah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk ke luar negara, tetapi bagi memasuki Gaza semuanya tertakluk kepada tentera Mesir dan kita akur kerana mereka pasti lebih tahu tentang kawasan mereka,” – Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery

Untuk tahun 2021, MAPIM menghadapi cabaran baru akibat pandemik Covid-19, yang menyebabkan kerajaan Malaysia menghadkan perjalanan ke luar negara. MAPIM sudah menghantar permohonan sebanyak empat kali kepada kerajaan Malaysia, tetapi belum berjaya. MAPIM yakin, kebenaran akan diperoleh dalam masa terdekat kerana MAPIM mengikuti semua arahan dan SOP yang sudah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Itu baru cerita di Malaysia. Cerita di Mesir untuk ke Gaza ada kisah lain pula. Mengikut pengalaman (Dr.) Sani yang sudah beberapa kali ke Gaza termasuk terperangkap dalam Perang Hijaratus Sijjil, memasuki Gaza perlu ada perancangan rapi sejak dari Malaysia lagi.

Setiap NGO punyai ‘resepi rahsia’ bagi memasuki Gaza. Malah MAPIM Malaysia sendiri punya ‘resepi’ bagi melepasi semua halangan tadi. Iaitu dengan bekerjasama erat dengan Miles of Smiles sebuah NGO dari United Kingdom. Pastinya kerjasama itu bukan dibuat dalam masa seminggu dua. Ia perlu berbulan-bulan perancangan. Sekiranya hasrat memasuki Gaza sendirian, anda tidak akan mampu pun melepasi Terusan Suez. Sekiranya dapat melihat pintu gerbang di Rafah sekalipun, ia bukan jaminan untuk masuk ke Gaza. Terlalu banyak pemboleh ubah yang di luar kawalan.

Berkongsi nada yang sama, duta Aman Palestin, Puan Farrah Adeeba, mengatakan walaupun NGO Malaysia belum ada yang dapat masuk ke Gaza pada kali ini, tetapi NGO-NGO di Malaysia tetap bekerja sepenuh masa bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin dan pembangunan semula bumi Gaza yang musnah.

“Untuk memasuki Gaza, agar sukar kerana kawalan ketat tentera Mesir. Mereka hanya membuka pintu masuk Rafah sebanyak 3 atau 4 kali dalam setahun.  Semua itu ada alasan mereka yang tersendiri dan kita perlu faham dan cuba ikut peraturan mereka. Memang kita tidak ada pilihan selain mengharapkan ihsan tentera Mesir. Jadi memang agak mencabar untuk masuk ke Gaza,” – Farrah Adeeba

Menurut Farrah lagi, rejim zionis tidak sahaja menggunakan senjata, malah mereka menggunakan sistem perundangan yang tidak adil di mana kanak-kanak Palestin yang masih kecil dikenakan undang-undang ketenteraan. Hukuman yang dikenakan menganggu kesihatan mental sehingga menyebabkan mereka mengalami trauma.

Di sinilah peranan NGO Malaysia sangat penting. Selain menunjukkan solidariti, NGO Malaysia juga boleh terus berunding dengan pihak kerajaan Palestin bagi menyediakan fasiliti yang diperlukan. Ada yang memerlukan taman permainan kerana menurut mereka ia bagi membantu kanak-kanak yang dilanda trauma perang.

Untuk MAPIM Malaysia sendiri, pengukuhan sektor kesihatan di Gaza menjadi antara enam sektor utama yang difokuskan dalam pembangunan semula Gaza. Antara yang jelas dilihat adalah dengan sumbangan 10 buah ambulan untuk masyarakat Gaza.

Selain itu NGO Malaysia akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang strategi jahat israel, yang selama ini dikaburi oleh media barat sendiri. Antaranya adalah agenda besar zionis untuk meyahudikan seluruh rakyat Palestin. Kesucian Al-Aqsa telah dicemari dengan lambakan pendatang Israel dalam usaha meyahudikan kawasan itu.

Farrah Adeeba menggesa masyarakat Malaysia melaburkan wang  pergi ke Baitulmaqdis bagi meramaikan lagi umat Islam di Al-Aqsa, sebagai tanda sokongan dan mempertahankan identiti Islam di Masjid Suci Al-Aqsa yang juga merupakan kiblat pertama umat Islam.

Dato’ Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya

Dato’ Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya yang merupakan panel ketiga dalam rancangan The Amin Idris Show, dan sekarang berada di Kaherah dalam percubaan memasuki Gaza, menegaskan supaya NGO Malaysia tidak ikut sama ‘bermain’ dalam permainan geopolitik di Mesir. Beliau mengingatkan NGO Malaysia supaya terus berada dalam keadaan neutral, dan tidak memihak kepada sesiapa ketika berada di Mesir, kerana ia akan menyukarkan mereka untuk memasuki Gaza. Malah mungkin ia akan menyukarkan NGO lain bagi memasuki Gaza.

MEDIA SOSIAL

Tidak semua berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Gaza bagi menunjukkan sokongan mereka, tetapi rakyat Malaysia tetap ada pilihan lain seperti menggunakan media sosial, yang sering dimomokkan, milik yahudi. Tetapi apa salahnya gunakan ciptaan yahudi bagi menentang yahudi zionis itu sendiri? Bak kata pepatah, senjata makan tuan.

Penggunaan media sosial bagi menentang zinois itu dapat dilihat melalui serangan psikologi dengan kempen memuat naik poster #IsraelKoyak dan #ShameonIsrael bagi mengecam kekejaman rejim Israel. Menariknya, kempen #shameonisrael itu dimulakan oleh Dr. Sani Araby Al Kahery sendiri.

Dr. Sani berpendapat penggunaan media sosial  bagi ‘menyerang’ zionis berjaya mendapat perhatian masyarakat dunia tentang realiti kejahatan zionis terhadap penduduk Palestin. Serangan itu juga berjaya mengubah naratif palsu yang sering dimainkan oleh israel bahawa mereka adalah mangsa, sedangkan pada hakikatnya, mereka ialah pemangsa jahanam.

Kejayaan penggunaan media sosial ini dapat dibuktikan lagi apabila Israel cuba menjalinkan hubungan rapat dengan Malaysia dan Indonesia. Ini menimbulkan kemarahan netizen kedua-dua negara. Rakyat Malaysia dan Indonesia secara keseluruhannya menentang sebarang hubungan atau normalisasi dengan Israel. Penentangan itu menjadi trending di Twitter dengan penggunaan tanda pagar #tolaknormalisasi dan #israelisterrrorism.

(Dr.) Sani Araby Al Kahery menambah, “Jangan main-main dengan rakyat Malaysia! Semangat yang ditunjukkan dalam menentang zionis,  dizahirkan kepada seluruh dunia tanpa takut, dan secara tak langsung Malaysia kini telah ke hadapan dalam serangan ke atas Israel melalui sosial media di saat normalisasi berlaku.”

Jadi adakah NGO Malaysia masih tidak serik untuk cuba memasuki Gaza dengan segala kesukaran yang ada?

(Dr.) Sani Araby Al Kahery menjawab tegas, “Kita tidak akan serik dan tidak akan sesekali putus asa. Katakanlah seluruh rakyat Palestin terkorban, nauzubillah, kita sebagai umat Islam wajib ke Palestin kerana Palestin adalah tanah wakaf umat Islam di seluruh dunia, dan kita akan pastikan tanah Palestin tidak jatuh ke tangan zionis. Jadi, anggap sahaja cubaan-cubaan ini sebagai tanda rakyat Malaysia tidak pernah putus asa bagi memperjuangkan tanah Palestin, dan juga sebagai ingatan kepada dunia bahawa rakyat Palestin tidak bersendirian.”

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.

Klik :
http://tabunggaza.com

ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016

Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button