KUALA LUMPUR : Pengisytiharan darurat yang diumumkan oleh Perdana Menteri pagi tadi ( 11 Jan) bukan bentuk satu rampasan kuasa tentera.
Malah pengisytiharan proklamasi darurat sehingga Ogos depan itu juga tidak bermaksud perintah berkurung akan dilaksanakan.
Sebaliknya kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan awam akan terus berfungsi seperti sedia ada dan tidak akan terganggu.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan proklamasi darurat itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan selepas diperdengarkan cadangan daripada Kabinet, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung dari Putrajaya hari ini.
Menurutnya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan yang akan berbincang dan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya darurat dapat ditamatkan lebih awal.
Ia juga untuk menjamin pelaksanaan pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus.
Dalam penjelasannya, Tan Sri Muhyiddin turut membacakan peruntukan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu:
“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”
Katanya, ancaman terhadap kehidupan ekonomi menjadi salah satu asas untuk sesuatu proklamasi darurat dibuat dan perkara itu juga menjadi perkiraan utama sebelum pengisytiharan oleh Seri Paduka Baginda.
Semalam (11 Jan) Tan Sri Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas enam negeri selama 14 hari bermula tengah malam ini sehingga 26 Januari.
Enam negeri pula dikenakan PKP Bersyarat manakala dua lagi negeri melalui PKP Pemulihan.