KerohanianPendidikan

Budaya memberi duit raya ada unsur tasyabbuh?

Amalan memberi duit raya sama ada kepada kanak-kanak, ibu bapa, saudara-mara, kaum kerabat dan seumpamanya adalah bertepatan dengan konsep amalan memberi sedekah dalam Islam.

Menurut penjelasan dari portal Maktabah Al-Bakri, amalan tersebut akan menghasilkan tiga bentuk ganjaran pahala amalan soleh iaitu, ganjaran pahala bersedekah itu sendiri, ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa serta ganjaran mengeratkan silaturrahim.

Berkenaan persoalan tradisi memberi duit raya ada unsur tasyabbuh (menyerupai), iaitu amalan yang menyerupai agama dan budaya lain, ternyata ia adalah tidak tepat.

“Amalan duit raya mempunyai asas yang kukuh di dalam Islam, iaitu bertitik tolak daripada amalan bersedekah yang sangat dianjurkan, bahkan sunat hukumnya.

“Begitu juga, jika pemberian itu adalah kepada sanak saudara, kaum kerabat dan seumpamanya. Orang yang memberi akan turut memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran pahala kerana bersedekah dan ganjaran kerana menghubungkan silaturrahim,” menurutnya.

Ia memetik sebuah hadith daripada Sa’ad bin Abi Waqqas R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

‎إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau tidaklah memberikan nafkah yang dengannya engkau mengharapkan wajah Allah kecuali pasti diberi pahala atasnya, sehinggakan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu.” 

Dalam pada itu, portal itu turut memetik Imam al-Nawawi yang menyebut: “Sesungguhnya perbuatan mubah (harus), jika dimaksudkan dengannya untuk mengharapkan wajah Allah SWT, maka ia akan berubah menjadi suatu bentuk ketaatan dan memperoleh balasan (ganjaran pahala).”

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Dinar (harta) yang engkau nafkahkan di jalan Allah, dinar yang engkau nafkahkan untuk membebaskan hamba, dinar yang engkau sedekahkan untuk orang miskin, dan dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu; maka yang paling besar pahalanya adalah yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.”

Manakala berkenaan persoalan memberi duit raya menggunakan sampul pula, ia tidaklah menjadi satu isu kerana kaedah fiqh menyebut:

‎الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة

Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.” 

Maka jelaslah di sini bahawa amalan memberi duit raya adalah termasuk amalan atau budaya yang terpuji kerana ia mengandungi elemen-elemen sedekah atau hadiah, di mana kedua-duanya adalah baik di sisi agama

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak, kaum keluarga, saudara-mara, dan jiran tetangga adalah sunat kerana ia termasuk dalam amalan sedekah atau hadiah yang dianjurkan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button