Merujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4, hédonisme adalah pegangan atau pandangan hidup yg mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Ia berasal dari bahasa Yunani ‘hēdonismos’ yang bermaksud kemeriahan. Golongan yang berfahaman hedonisme ini menjadikan falsafah kehidupannya untuk berseronok semata-mata dan menjadikannya matlamat utama dalam hidup.
Gesaan pernah dibuat oleh pelbagai pihak supaya kerajaan mengambil berat penganjuran konsert dan penularan budaya hedonisme dalam negara ketika ini.
Ia berikutan penganjuran konsert artis luar negara mahupun tempatan yang berhibur di luar batasan agama yang ternyata merosakkan pemikiran masyarakat khususnya golongan muda. Dalam berhibur, artis luar negara biasanya turut membawa bersama ideologi songsang mereka termasuk pengaruh LGBT (lesbian, gay, biseksual & transgender).
Golongan penghibur tempatan turut pernah menyuarakan tentang kebanjiran artis luar negara yang membawa masuk pelbagai budaya pelik ke Malaysia.
Antara yang lantang adalah vokalis kumpulan rock terkenal, Wings iaitu Datuk Awie yang berpendapat, budaya yang dibawa oleh artis luar negara mencemarkan identiti dan budaya anak bangsa.
“Saya bercakap perkara ini demi rakyat, bangsa dan budaya kita. Sekarang tak kira rambut hijau, kuning, merah semua ada. Budaya apa sebenarnya yang nak dibawa masuk? Kita yang duduk di depan menonton persembahan mereka tak faham sepatah haram nyanyian mereka.” tegas Datuk Awie ketika membantah penganjuran konsert K-pop sekitar 3 tahun lalu.
“Pihak penganjur bertambah kaya dan tamak, generasi muda pula semakin rosak,” coretan pendakwah & penulis, Ustazah Asma’ Harun pada muka bukunya.
Ustazah Asma’ Harun dalam masa sama turut menyuarakan kekesalannya semasa penganjuran konsert seorang penyanyi antarabangsa Ogos lalu. Pada pendapatnya, jika dibiarkan berterusan begini maka suburlah budaya hedonisme di Malaysia. Kesannya akan lahir generasi hamba hiburan, maka bertambah kaya pihak penganjur yang tamak dan generasi muda kita semakin rosak.
Paling terbaharu adalah reaksi pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad tentang isu kebanjiran konsert di Malaysia sehingga dikatakan menjadi sebab penularan budaya hedonisme.
“Apa-apa yang Allah tidak reda, saya tak setuju. Salah satu tanda Allah SWT sayangkan seseorang apabila dia (umat) tidak menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia.”
“Perkara yang sia-sia itu ialah perbuatan yang tidak memberatkan timbangan di padang Mahsyar nanti. Malaikat sentiasa mencatat perbuatan kita”
“Sebelum buat sesuatu perkara, kita harus fikirkan 5 pilihan iaitu iman atau nafsu, syurga atau neraka, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan Allah reda atau Allah murka,” jelas Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad memetik laporan berita Kosmo Online.
Maksudnya: “Aku pernah mendengar RasuIullah SAW bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.” Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?” Nabi SAW menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak berseronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpunkan harta sebanyak mungkin, (4) tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim-menzalim.” (HR Hakim)
Umat Islam harus menetapkan hati agar sentiasa berada di atas jalan agama dan menjauhkan diri daripada sebarang kemaksiatan. Ini sesuai dengan doa yang diajarkan Rasulullah SAW: