Budak lelaki terperangkap lebih 48 jam dalam lubang perigi di Afghanistan
KABUL : Pasukan penyelamat kini sedang bertungkus-lumus untuk mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh dalam lubang perigi di selatan Afghanistan.
Operasi menyelamatkan mangsa yang dikenali sebagai Haidar dilaporkan terperangkap di dalam lubang tersebut telah bermula selama dua hari sejak Selasa lalu.
Insiden menimpa kanak-kanak berusia 9 tahun itu berlaku di perkampungan Shokok di wilayah Zabul kira-kira dua minggu selepas kejadian sama di Maghribi yang mengorbankan mangsa berusia lima tahun, Rayan Awram.
Perigi tersebut dikatakan mempunyai kedalaman 24 m (82 kaki) dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 m.
Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di media sosial, Haidar dilihat menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya.
Dalam pada itu, Setiausaha Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Azzam menerusi laman Twitter rasmi beliau memaklumkan bahawa Haidar tersangkut di celah bawah batu dan usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan.
“Umpama tragedi Rayan dari Maghribi, seorang kanak-kanak telah jatuh ke dalam perigi yang dalam dan tersangkut pada batu di wilayah Zabul Afghanistan.
“Dia setakat ini masih hidup dan batu itu cuba untuk dibelah bagi mengeluarkan mangsa. Mohon doakan,” ciap beliau.
Buat masa ini, pasukan penyelamat menjalankan kerja menggali dari sudut permukaan untuk cuba mencapai lokasi di mana mangsa itu terperangkap.
Tambah Abdullah, bantuan oksigen, ambulans serta beberapa keperluan lain telah berada di tempat kejadian.
“Kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan kadang kala meminta bantuan makanan dan minuman,” ujarnya.
– AGENSI