Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Pada hari ini, jual beli dengan menggunakan konsep wang pendahuluan bukan lagi suatu perkara yang asing dalam masyarakat. Contohnya sekiranya seseorang ingin berkahwin maka mereka yang ingin menempah catering harus membayar duit deposit sebagai tanda untuk lock.
Namun bolehkah kita meminta kembali duit deposit sekiranya majlis kita tidak dapat untuk dilaksanakan disebabkan oleh masalah-masalah tertentu.
Jadi mari kita lihat pandangan Islam mengenai isu ini, jawapan ini diberikan dalam laman sesawang mufti wilayah.
Jual beli secara deposit ini dinamakan sebagai bai’ al-‘urbun (jual beli secara deposit). Asasnya jual beli secara urbun ini adalah tidak sah mengikut kepada mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi. Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad saw:
Maksudnya: “Rasulullah S.A.W melarang jual beli secara ‘urbun.” – riwayat Abu Daud
Ini juga kerana ia mengandungi gharar (ketidakpastian) dan memakan harta manusia secara batil. Manakala mazhab Hanbali membenarkan jual beli secara ‘urbun berdasarkan kepada pendapat Saidina Umar al-Khattab dan anaknya, Abdullah R.Anhuma.
Namun, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab karangannya, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh (5/3434-3435), jual beli secara ‘urbun adalah diharuskan berdasarkan kepada ‘uruf semasa. Selain itu, hadis yang melarang jual beli ini juga adalah tidak sahih.
Melihat kepada senario masyarakat Islam pada hari ini, jual beli secara ‘urbun ini dilihat sudah menjadi keperluan dan ‘uruf kepada masyarakat khususnya di zaman sekarang ini sebagai tanda atau bentuk komitmen dalam melakukan perjanjian jual beli. Ia bertujuan bagi mengelakkan kerugian bagi pihak-pihak yang bertransaksi dengan pelanggan.
Maka, apabila berlakunya jual beli secara ‘urbun (deposit), isu kedua yang timbul ialah pada penamatan kontrak sewaan atau jual beli, dalam kata deposit telah dibayar, maka adakah boleh bagi pelanggan atau pembeli untuk menarik semula wang deposit. Dan adakah peniaga atau penjual boleh mengambil wang deposit tersebut menjadi miliknya.
Dalam hal ini, Majma’ Fiqh al-Islami telah mengeluarkan satu keputusan berkenaan bai’al-‘urbun ini bahawa ia dibenarkan dan diharuskan
Transaksi ini selain berlaku untuk jual beli, ia juga berlaku untuk akad sewa menyewa (al-Ijarah) atas sebab ia juga merupakan jual beli manfaat.
Maksudnya: Dibolehkan bai’ al-‘urbun sekiranya tempoh menunggu diikat dengan waktu yang terhad, wang pendahuluan tersebut dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah harga apabila bayarannya sudah dilunaskan. Dan ia (al-‘urbun) menjadi milik penjual apabila pembeli membatalkan urusniaga pembelian.
Ini dikuatkan lagi dengan pendapat yang dikeluarkan oleh ahli Majlis Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, (9388) jawab mereka apabila ditanya berkenaan bai’ al-‘urbun, adakah dibenarkan bagi penjual untuk mengambil wang deposit yang telah dibayar oleh si pembeli apabila pembeli membatalkan pembeliannya atau mengembalikan pembeliannya itu:
Maksudnya: Sekiranya keadaan sedemikian, maka dibolehkan baginya (penjual) untuk memiliki wang deposit tersebut untuk dirinya dan tidak mengembalikannya kepada pembeli menurut pendapat yang rajih dalam kalangan ulama’, apabila keduanya (penjual dan pembeli) telah bersepakat ke atasnya.
Sehubungan dengan itu, jelas di sini bahawa penjual berhak mengambil wang deposit yang telah diberikan oleh pembeli atau pelanggan kepada mereka sekiranya berlaku pembatalan pembelian atau sewaan. Justeru, kami berpandangan di sini bahawa pembeli tidak boleh menuntut semula wang deposit mereka sekiranya:
Pembatalan pembelian atau sewaan itu berpunca daripada mereka atau atas kehendak mereka dan bukannya dari kehendak penjual.
Wang deposit diletakkan sebagai tanda jadi atau tanda komitmen berdasarkan kesepakatan.
Wang pendahuluan yang akan menjadi milik penjual, ketika pembeli tidak jadi membeli barangnya merupakan wang ganti rugi (ta’widh), atas kerugian yang ditanggung oleh penjual. Namun, jika masih terdapat lebihan wang pendahuluan daripada kerugian sebenar penjual, maka ia hendaklah dipulangkan kepada pembeli.
Meskipun begitu, sekiranya penjual memulangkan semula wang deposit pembeli ketika urusniaga antara keduanya dibatalkan tanpa mengungkitnya semula, maka ia dibenarkan malah ia merupakan suatu perkara yang baik serta besar pahalanya di sisi Allah S.W.T.