Covid19Semasa

Kes COVID-19 kembali mencecah 3,000

Lonjakan mendadak selepas dua bulan

PUTRAJAYA : Kes jangkitan harian COVID-19 negara kembali mencecah angka 3,000 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, jumlah itu mencatat lonjakan yang membimbangkan apabila merekodkan 3,142 kes baharu hari ini.

Ia menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 401,593 kes iaitu yang ketiga tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Filipina.

Ia juga kali pertama kes baharu di Malaysia kembali mencecah melebihi 3,000 kes dalam tempoh lebih dua bulan, sejak mencatatkan 3,545 kes pada 24 Februari lalu.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, empat negeri mencatatkan pertambahan kes baharu membimbangkan iaitu Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Sarawak.

“Selangor mencatat pertambahan tertinggi dengan 1,019 kes atau 32.4 peratus daripada jumlah kes baharu hari ini, disusuli Kelantan (523), Kuala Lumpur (440) dan Sarawak (416), manakala dua negeri mencatat pertambahan tiga angka kes baharu iaitu Johor (194) serta Kedah (120).” – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Perlis dan Labuan pula masing-masing mencatat pertambahan satu dan empat kes baharu, manakala negeri lain merekodkan peningkatan dua angka kes baharu dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 26,719 kes aktif direkodkan ketika ini dengan 306 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 151 memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, katanya, 15 kematian baharu akibat COVID-19 turut dicatatkan, menjadikan kes kematian keseluruhan melonjak kepada 1,477 atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes di Malaysia.

“Semua kes kematian membabitkan rakyat tempatan dengan enam kes di Sarawak, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Johor, Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan serta Pahang,” katanya.

Katanya, sebanyak 1,822 kes sembuh direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 373,397 kes sembuh atau 93 peratus daripada keseluruhan jangkitan di negara ini. – BH

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button