Covid19DuniaKemanusiaanSemasa

Boleh ambil dos penggalak selepas Tarawih di Indonesia

Oleh: Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof

JAKARTA: Jabatan Kesihatan Jakarta bercadang untuk melaksanakan program suntikan dos penggalak di beberapa masjid selepas solat tarawih selesai dilakukan.

Jurucakap jabatan, Widyastuti berkata pihaknya sudah berkoordinasi dengan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dan Dewan Masjid Indonesia untuk melaksanakan program tersebut.

Beliau menambah, langkah itu boleh dilakukan untuk meningkatkan kadar penerimaan suntikan dos penggalak dalam kalangan penduduk di bandar raya ini.

Selain itu, capaian dos penggalak masih rendah di Jakarta dengan jumlah semasa baru mencecah tiga juta orang yang baru menerima suntikan tersebut.

“Sehubungan itu, kita perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima dos penggalak, sekali gus meningkatkan imuniti berkelompok bagi menentang COVID-19,” ujar beliau dalam kenyataan.

Menurut Widyastuti, suntikan penggalak masih diperlukan bagi sesetengah perkara termasuk pulang beraya ke kampung halaman walaupun kerajaan masih belum mewajibkannya.

Selanjutnya, jabatan kesihatan turut mempertimbangkan untuk membuka cawangan pemberian dos penggalak di terminal atau stesen pengangkutan.

“Kami akan meneliti perkara tersebut kerana, pada saat ini, masyarakat belum pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kemungkinan menjelang Aidilfitri pihak kami akan membuka pusat dos penggalak di terminal pengangkutan,” jelas beliau.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button