Betul ke tidur dengan niat dalam Islam dianggap ibadah ?

Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Pernahkah kita mendengar mengenai apabila kita tidur dengan memasang niat yang baik kita mendapat pahala ? Jadi benarkah kenyataan tersebut ?
Dalam Islam, seluruh aktiviti yang dilakukan adalah ibadah selagi mana aktiviti itu bertujuan untuk mencari keredhaan Allah, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya. Hal ini termasuklah tidur atau istirehat bagi memenuhi hak tubuh.
“Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirahat padanya, dan (menjadikan) siang terang benderang (supaya kamu mencari kurniaan Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang mendengar” (surah Yunus :67)
Firman Allah SWT dalam surah ar-Rom: 23, “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran Nya) ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian daripada kurniaan Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mendengar.”
Itu sunnatullah. Malam sebagai waktu untuk beristirahat bagi menyempurnakan hak tubuh. Manakala siang pula waktu yang ditetapkan untuk mencari kurniaan Allah. Sabda Baginda s.a.w.
“Sesungguhnya tubuhmu punya hak atas dirimu. Kedua matamu memiliki hak atas dirimu.” (HR Bukhari & Muslim)
Menjaga tidur dan mendapatkan rehat yang cukup adalah cara untuk menjaga kesihatan yang merupakan tuntutan dalam Islam kerana ia memenuhi keperluan maqasid syariah, hal ini adalah jelas.
Jadi mendapatkan tidur yang betul dengan niat untuk beribadah contohnya akan memberi ganjaran pahala kepala yang melakukannya insha Allah.
Mereka yang tidur awal pada waktu malam dan mampu untuk melaksanakan ibadah sunat seperti tahajud, berzikir dan membaca al-Quran sebelum masuk waktu subuh. Hal ini amat digalakkan oleh Islam dan dapat memberi ganjaran yang besar kepada yang melakukannya.