Bersahurlah, di dalamnya terkandung keberkatan
Ramai yang merasakan perbuatan bersahur itu dianggap remeh dan tidak penting kerana sikap malas untuk bangun dan menyediakan makanan sahur. Ada juga yang menyatakan ‘Aku tidak sahur pun boleh berpuasa juga’, namun mereka lupa bahawa amalan sahur ini bukan sahaja dapat berikan tenaga dalam badan malah terkandung di dalamnya keberkatan yang sangat besar.
Bersahur sangat sinonim dalam bulan Ramadan. Oleh itu dalam kita melaksanakan ibadah puasa, bersahur juga mempunyai fadhilat atau kelebihan yang bermanfaat untuk diri kita.
Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.
Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam perbuatan bersahur, adanya keberkatan yang di ertikan sebagai ganjaran dan pahala.
Selalu menjadi pertanyaan, bilakah waktu sahur yang lebih afdal untuk kita laksanakan?
Rasulullah SAW sangat mengalakkan umat Islam untuk melewatkan bersahur yang bermula akhir malam sebelum waktu subuh sehingga menghampiri waktu fajar.
Tahukah anda amalan bersahur ini merupakan amalan yang istimewa bagi umat islam. Kenapa ia istimewa?
Terdapat hadis daripada Amru bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ini kerana, perbuatan sahur itu dapat membezakan diantara puasa orang Islam dan puasa ahli kitab. Hadis ini menunjukkan galakkan untuk bersahur dan hukumnya adalah sunat.
Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud:
“Umatku terus berada dalam kebaikan, selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur.” (Hadis Riwayat Iman Ahmad)
Oleh itu, umat Islam tidak seharusnya meninggalkan perbuatan bersahur walaupun sahur itu hanya segelas air dan sebutir tamar.
Secara logiknya, waktu sahur juga tergolong dalam waktu terakhir sepertiga malam, yang merupakan waktu mustajab doa.
Sudah pasti, amal ibadah seperti berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu bersahur mendapat ganjaran pahala. Malah keberkatan pada sahur mampu memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan ketika berpuasa.
Perbuatan bersahur merupakan sunat yang sangat dituntut dalam syariat Islam yang padanya terdapat keberkatan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui utusannya Nabi Muhammad SAW.
Untuk menjadi mukmin yang lebih tawaduk, ibadah puasa mengajar kita untuk menahan nafsu serta merasakan keperitan orang yang sering berlapar.
Ketika berpuasa, bukan sahaja kesihatan kita terjaga, malah orang berpuasa juga mempunyai kelebihan yang lain seperti, doanya akan dimakbulkan Allah pada dua waktu iaitu ketika bersahur dan berbuka puasa.
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today