Semasa

‘Berkhidmat untuk negara’ biarpun landskap politik goyah

PUTRAJAYA : Penyampaian perkhidmatan kerajaan tetap berjalan lancar meskipun perubahan landskap politik semasa yang tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata perkhidmatan awam merupakan jentera dalam sistem pentadbiran negara, ianya ditadbir urus bagi membolehkan dasar dan  program negara berjalan dengan lancar.

“Semua penjawat awam adalah diingatkan supaya tidak terlibat  dengan polemik politik semasa.

“Kita perlulah sentiasa berpegang kepada prinsip neutral dan tidak berpolitik. Kesetiaan penjawat awam adalah kepada  Raja, Negara dan Kerajaan tanpa  mengira apa jua peringkat dan kedudukan.” katanya menerusi kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tambah beliau, Ketua-Ketua Jabatan diarahkan melaksanakan tugas selari dengan dasar semasa yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, semua warga perkhidmatan awam di bawah Kementerian dan Jabatan masing-masing diminta melaksanakan  tanggungjawab dan bekerja bagi memastikan segala pengurusan, serta pentadbiran berjalan lancar seperti biasa.

“Semua perancangan di bawah  dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, perancangan program menangani pandemik Covid-19 dan program vaksinasi, juga program pemulihan negara dapat dilaksanakan seperti yang ditetapkan.” katanya.

Khairul mengulas, tatkala negara sedang mencari kesepakatan politik, penjawat awam akan memastikan keutuhan dan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan diteruskan dengan baik selari dengan ikrar ‘Berkhidmat Untuk negara’.

“Dalam  keadaan negara dan rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi dan kehidupan, penjawat awam mestilah tampil kehadapan memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi meringankan beban negara dan rakyat.

“Kita yakin semua anggota perkhidmatan awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik.  Moga Allah SWT dapat memudahkan segala urusan kita  dengan sempurna dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan  negara.” ulas Khairul  Adib.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

 

Related Articles

Back to top button