Beraya, beraya juga ! Solat jangan tinggal
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Walaupun hari ini sudah hari kelima kita beraya, kehangatan Aidilfitri itu tetap meriah. Masyarakat masih lagi saling menziarahi antara satu sama lain.
Dua tahun tidak dapat beraya, mesti kaw-kaw nak beraya kali ini. Biarpun begitu, kawajipan bersolat jangan dilupa.
Aidilfitri ini kita digalakkan untuk menziarahi sanak saudara, bertanya khabar dan saling bermaaf-maafan.
Namun, dalam kita seronok beraya, janganlah kita lupa dengan kewajipan kita dalam menunaikan solat.
Dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” Surah Al-Baqarah: 43
Sudah sedia maklum, hukum solat adalah fardu ain, ia wajib ditunaikan oleh semua orang Islam, yang berakal, baligh, berada dalam keadaan suci (bukan haid).
Rasulullah SWT bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya engkau akan bertemu dengan kaum daripada golongan Ahli Kitab, maka jadilah seawal-awal perkara yang engkau serukan kepada mereka ialah untuk mentauhidkan Allah, maka jika mereka telah mengetahuinya, lalu khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah menfardhukan ke atas mereka lima waktu solat pada waktu siang dan malam mereka.” Riwayat al-Bukhari
Solat juga perlu dilaksanakan lima waktu sehari semalam, tidak kira semasa perayaan mahupun dalam kesibukan bekerja.
Oleh itu, dalam kita rancang untuk beraya, rancanglah juga untuk melaksanakan solat awal waktu, apabila kita telah menunaikan solat sudah pasti urusan kita untuk beraya dipermudahkan.
Pastikan juga kelengkapan solat seperti sejadah dan telekung diletakkan di dalam kereta, supaya senang untuk kita berhenti menunaikan solat apabila dalam perjalanan pergi beraya.
Jangan jadikan ziarah Aidilfitri sebagai alasan untuk kita meninggalkan solat. Sikap leka dan sambil lewa juga tidak wajar dilakukan dalam hal melibatkan solat fardu.
Oleh yang demikian sama-samalah kita mentaati perintah Allah SWT dengan menunaikan sembahyang agar kehidupan seharian kita akan sentiasa aman bahagia kerana dapat mengindarkan diri dari melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar.