DuniaInspirasi

Belasungkawa Nelson Mandela : Sebuah perjuangan demi bangsa & negara

50 tahun perjuangan menentang Dasar Aparteid

Siapa yang tidak kenal figura yang bernama Nelson Mandela, kisah perjuangan beliau yang tiada tolok bandingnya dalam menegakkan hak bangsa yang tertindas hampir 50 tahun lamanya.

Nelson Mandela atau nama penuhnya Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan pada 18 Julai 1918 di sebuah desa yang diberi nama Mvezo yang terletak di wilayah tenggara Afrika Selatan.

Matlamat perjuangannya adalah untuk memusnahkan dasar Aparteid di Afrika Selatan.

Dasar Aparteid merupakan sebuah undang-undang yang berbentuk pengasingan berasaskan kaum. Dasar ini dibuat secara khusus bertujuan melindungi penguasaan etnik kulit putih di Afrika Selatan.

Aparteid ini secara rasminya diluluskan sebagai sebahagian daripada undang-undang pada tahun 1948 oleh National Party sehingga mengeruhkan hubungan antara etnik kulit putih dan kulit hitam.

Antara gagasan dasar Aparteid ini adalah etnik kulit hitam perlu sentiasa membawa permit pengenalan (ID) dan dipaksa mematuhi perintah berkurung yang ketat.

Selain itu, kemudahan awam turut diasingkan buat etnik kulit hitam dan kulit putih, ini termasuklah pengharaman perkahwinan kulit putih dengan etnik yang lain.

Sudah pasti dasar Aparteid ini mengundang kemarahan etnik kulit hitam. Bantahan atas dasar ini acap kali disuarakan oleh golongan remaja sehingga melahirkan tokoh seperti Nelson Mandela, Oliver Tambo dan Walter Sisulu.

Sementara itu, ketika zaman pengajian, Nelson Mandela menyambung pelajaran separuh masa dalam undang-undang di Soweto dan membuka firma undang-undang etnik kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

Pada sekitar tahun 1950-an, beliau telah dilantik sebagai ketua sayap pemuda gerakan pembebasan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

Objektif penubuhan ANC adalah untuk mendapatkan hak kewarganegaraan penuh, pembahagian tanah kepada penduduk asal, hak bekerja dan pendidikan kepada semua kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, perjuangan beliau dihalang oleh kerajaan dan memaksa Mandela menganjurkan gerakan tentera rahsia. Namun, tidak lama selepas itu Mandela dipenjarakan dari November 1962 hingga Februari 1990 atas dakwaan pengkhianatan dan konspirasi terhadap kerajaan.

Selama 27 tahun dipenjarakan, Mandela menjadi tahanan politik yang cukup terkenal di mata dunia. Kata-katanya diharamkan di Afrika Selatan, namun, namanya sudah menjadi bualan global.

Pada tahun 1960-an, beberapa ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mula menyeru agar sekatan terhadap Afrika Selatan digugurkan.

Tanggal 1990, sebagai tindak balas kepada tekanan antarabangsa dan ancaman perang saudara, presiden baru Afrika Selatan, F.W. de Klerk, berjanji untuk menamatkan aparteid dan membebaskan Mandela dari penjara.

Dari tahun 1994 hingga 1999, Nelson Mandela dilantik sebagai Presiden Kulit Hitam Pertama Afrika Selatan.

Perjuangan beliau dalam menegakkan hak etnik kulit hitam membuatkan Mandela dinobatkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1993.

Bukan itu sahaja, Mandela turut menyuarakan isu penindasan Israel terhadap Palestin. Antara kata-kata yang dilontarkan adalah :

“Kita semua sedia maklum bahawasanya kebebasan kita masih tidak sempurna tanpa kebebasan rakyat Palestin.”

Pengarah kumpulan hak asasi manusia Africa 4 Palestine, Muhammed Desai berkata menerusi Anadolu Agency,  organisasinya akan mengambil semangat Mandela dalam memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

“Semangat Nelson Mandela menyuburkan semangat rakyat Palestin yang masih berjuang demi kebebasan mereka daripada aparteid Israel. Dari erti kata lain, roh semangat Mandela hadir pada setiap rakyat Palestin untuk mendapatkan hak yang sebenar,” kata Desai.

Tanggal 5 Disember 2013 Nelson Mandela menghembuskan nafas terkahir pada usia 95 tahun di rumahnya yang terletak di Johannesburg, Afrika Selatan.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, beliau menderita jangkitan paru-paru pada Januari 2011 dan sempat menerima rawatan di hospital Johannesburg.

Justeru, pada tahun 2009, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara menetapkan tanggal 18 Julai sebagai Hari Nelson Mandela Sedunia.

Related Articles

Back to top button