IPOH: Bagi menggalakkan pengunjung Bazar Ramadan membawa bekas makanan sendiri ketika membeli juadah, Kerajaan Negeri Perak mencadangkan peniaga menawarkan harga diskaun kepada pembeli yang berbuat demikian.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata ia bagi memberi kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan mengelakkan penggunaan beg plastik dan menyahut konsep Bazar Ramadan Mesra Alam.
“Kita mahu mengurangkan rintangan kepada pengguna sebab bagi mereka, bawa bekas makanan itu leceh kerana perlu membasuh dan sebagainya.”
“Jadi kita cuba berbincang dengan peniaga bagi mendapatkan situasi menang-menang antaranya menawarkan diskaun kepada pembeli yang membawa bekas sendiri,” katanya kepada media selepas mengedarkan beg plastik terbiodegradasikan kepada pengunjung bazar di Tapak Bazar Ramadan Stadium Perak pada Khamis.
Turut hadir Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Sementara itu, Ng berkata kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan pihak swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberikan cenderahati kepada pengguna yang mennggunakan bekas makanan sendiri.
Terdahulu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang mengamalkan konsep Bazar Ramadan Mesra Alam bertepatan dengan kempen Bandar Rendah Karbon antaranya menggalakkan pengunjung membawa bekas makanan sendiri.
Dalam perkembangan lain, Ng berkata pihaknya akan menyemak semula beberapa lokasi mural di sekitar Ipoh yang sudah mula pudar dan dikhuatiri akan menjejaskan Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024.
“Mural yang ada sekarang ini, ada diantaranya di bawah kerajaan, agensi dan swasta. Kita mahu pastikan di lokasi tarikan pelancong tiada isu berbangkit. Kita akan lihat balik mural itu dibina oleh siapa sama ada kerajaan, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
BACA JUGA
CDERT MAPIM dan APM Pahang laksana Misi Prihatin Pra Ramadan di Ulu Tembeling