Derna – Libya kini berhadapan dengan cabaran terbaharu selepas banjir besar yang terjadi akibat pecahnya dua empangan sehingga mengorbankan lebih 20,000 orang penduduk.
Organisasi kemanusiaan mengeluarkan amaran bahawa banjir mungkin ikut membawa periuk api yang tidak meletup dan senjata lain yang ditinggalkan daripada perang negara itu.
Dalam laporan yang diterbitkan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), peningkatan drastik pada bilangan periuk api dan kemalangan senjata tidak meletup (UXO) telah dicatatkan sejak perang terhenti pada separuh kedua 2020.
Sehingga 2022, dianggarkan terdapat 100,000 tan peluru ditinggalkan di bawah runtuhan di beberapa bahagian Libya, termasuk Sirte, Tawergha, Derna dan Benghazi, kawasan yang semuanya terjejas akibat konflik sepanjang dekad sebelumnya, tambah OCHA.
Menurut Pusat Tindakan Periuk Api Libya (LibMAC), 162 periuk api dan sisa letupan kemalangan Perang (ERW) dilaporkan di seluruh Libya dari Mei 2020 hingga Mac 2022, mengakibatkan sejumlah 329 mangsa – 132 terbunuh dan 197 cedera – di mana 76 peratus adalah orang awam.
Biasanya, rekod mengenai lokasi bahan letupan disimpan oleh kerajaan dan pihak berkuasa negara. Walau bagaimanapun, Libya masih lagi bergolak jadi negara tidak dilengkapi sepenuhnya dengan maklumat tersebut.
Ketua unit pencemaran senjata di Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Erik Tollefson, memberitahu Al Jazeera bahawa bom tidak meletup dan stor peluru yang ditinggalkan di kawasan itu, khususnya di bandar lama Derna, telah berpindah lokasi selepas dua empangan pecah dan membanjiri kawasan itu.
Dengan menggunakan maklumat yang dikumpul di tapak sebelum banjir, ICRC sedang membina model Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk mengira kelajuan, ketinggian dan lebar arus dalam usaha untuk memetakan kawasan yang disyaki ada pencemaran senjata.
Ketika pihak berkuasa di timur Libya bergelut dengan cabaran banjir, terutamanya di tengah-tengah kemelut politik yang melanda negara, organisasi seperti ICRC cuba menyampaikan pengetahuan mereka untuk menekankan bahaya senjata yang tidak meletup, menyediakan latihan yang diperlukan dan bantuan kepada kumpulan yang terlibat dalam misi menyelamat, serta meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menyedarkan mereka tentang risiko ini yang kami tahu jelas dan ada,” kata Tollefson. “Ketua delegasi kami di Libya telah menekankan ini sebagai salah satu risiko tambahan kepada masyarakat, kepada mangsa yang terselamat dan kepada penyelamat yang berada di sana.”
Bulan Sabit Merah Libya juga telah bekerjasama dengan pegawai kerajaan dan memikul tanggungjawab menyebarkan pengetahuan dalam talian untuk membantu meminimumkan risiko letupan dan melengkapkan orang ramai dengan latihan yang betul sekiranya letupan berlaku sebelum waktunya.
Sumber : Al Jazeera