DuniaSemasa

Banjir di Pakistan: Tentera rayu bantuan antarabangsa

Banjir sejak Jun telah menjejaskan lebih 33 juta penduduk dan meragut lebih 1,000 nyawa.

KHAIPUR: Pakistan merayu masyarakat antarabangsa tampil membantu negara itu yang ditimpa bencana banjir.

Rayuan dibuat oleh Panglima Tentera, Jeneral Qamar Javed Bajwa selepas beliau sendiri melawat kawasan yang dilanda banjir di wilayah selatan Sindh.

“Negara-negara mesra dengan Pakistan juga akan tampil untuk membantu dalam masa yang memerlukan ini.”

“Saya juga merayu bagi pihak kerajaan Pakistan, bagi pihak rakyat Pakistan, kepada ekspatriat kami dan rakan-rakan kami di luar negara, untuk tampil membantu.”

“Rakyat Pakistan kini berada dalam keadaan yang sangat-sangat sukar. Saya yakin ekspatriat kami seperti biasa tidak akan mengecewakan saudara-saudara mereka,” katanya.

Sebelum ini Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman turut membuat rayuan yang sama bagi menghadapi malapetaka bencana itu.

Foto kredit twitter @ajplus

Banjir sejak pertengahan Jun lalu telah menjejas lebih 33 juta rakyat Pakistan dan meragut lebih 1,000 nyawa.

Agensi kerajaan Pakistan turut melaporkan hampir sejuta rumah rosak dan lebih daripada 2 juta ekar tanaman musnah dan 149 jambatan dibawa arus.


Tentera dan pekerja penyelamat telah memindahkan penduduk yang terkandas ke kem bantuan serta menyediakan makanan kepada beribu-ribu rakyat Pakistan yang dipindahkan.

Kerajaan telah mengerahkan tentera untuk membantu pihak berkuasa awam dalam operasi menyelamat dan mengerahkan bantuan di seluruh negara.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button