DuniaSemasa

Banjir di Bangladesh, India ragut 59 nyawa, jutaan terperangkap banjir

SYLHET : Ribut monsun di Bangladesh dan India telah mengorbankan sekurang-kurangnya 59 nyawa dan mengakibatkan banjir besar yang menyebabkan jutaan penduduk terkandas, menurut pegawai pada Sabtu.

Banjir adalah ancaman biasa kepada berjuta-juta orang di dataran rendah Bangladesh, tetapi pakar mengatakan perubahan iklim meningkatkan kekerapan bencana itu.

Sekolah telah dijadikan pusat perlindungan untuk menempatkan seluruh penduduk kampung yang ditenggelami air akibat sungai yang deras tiba-tiba memecahkan tebing rumah mereka.

“Selepas menunggu sehari suntuk di atas bumbung rumah kami, seorang jiran menyelamatkan kami dengan bot. Ibu saya berkata dia tidak pernah melihat banjir sebegitu teruk sepanjang hidupnya,” menurut salah seorang mangsa.

“Air naik begitu pantas sehingga kami tidak dapat menyelamatkan barang-barang kami,” katanya. “Dan bagaimana nak masak apabila semuanya berada di bawah air?” tambahnya.

Menurut ketua polis tempatan, Mizanur Rahman, tiga kanak-kanak antara usia 12 hingga 14 tahun telah disambar petir pada Jumaat lalu di bandar pedalaman Nandail.

Dalam pada itu, 16 orang terbunuh sejak Khamis lalu di kawasan pedalaman India, Meghalaya,  manakala di Assam, lebih 2.6 juta orang terjejas akibat banjir selepas hujan turun tanpa henti selama lima hari.

Seramai 18 orang terbunuh dalam banjir atau tanah runtuh di seluruh negeri itu sejak Khamis lalu dengan hampir 7,500 orang diselamatkan semalam.

Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, memberitahu wartawan bahawa beliau mengarahkan pegawai tempatan memberikan semua bantuan bagi membantu mereka yang terperangkap dalam banjir.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button