BanjirDuniaSemasa

Banjir Australia, lapan mangsa banjir lemas

SYDNEY: Beberapa bandar tenggelam mengakibatkan beribu-ribu orang di pantai timur Australia diarahkan meninggalkan kediaman mereka susulan hujan lebat.

Sebahagian penduduk terkandas di atas bumbung dan pihak berkuasa memberi amaran banjir itu mengancam nyawa.

Perkhidmatan kecemasan berkata, angka kematian hari ini, meningkat kepada lapan orang dengan korban terbaharu membabitkan seorang lelaki dihanyutkan arus, ketika cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air.

Sungai Brisbane di bandar ketiga terbesar di Australia, dijangka dinaiki air awal hari yang menghampiri paras kemuncak dengan kira-kira 15,000 rumah di bandar itu terjejas akibat kenaikan air.

Perdana Menterinya, Scott Morrison menyifatkan hujan itu sebagai ‘bom hujan’ yang kini bergerak perlahan ke selatan ke New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia.

Anggota pertahanan akan ditempatkan di kawasan yang dilanda banjir, kata Morrison kepada stesen radio 4BC.

Tenggara Queensland yang dibadai ribut teruk setakat ini, menjadi tumpuan anggota perkhidmatan kecemasan untuk operasi menyelamatkan beberapa mangsa yang terperangkap di rumah.

Selain itu, kira-kira 50,000 kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala lebih 1,000 sekolah sudah ditutup.

Jumlah hujan tertinggi direkodkan bulan ini di beberapa wilayah di negeri ini, dengan beberapa tempat menerima jumlah hujan lebih daripada sebulan dalam masa satu hari.

Musim panas pantai timur Australia didominasi corak iklim La Nina, yang biasanya dikaitkan dengan hujan lebih besar.

Di New South Wales, perintah mengosongkan kediaman sudah dikeluarkan membabitkan beberapa bandar, termasuk Lismore yang terletak kira-kira 700 kilometer di utara Sydney. – REUTERS

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Related Articles

Back to top button