DuniaSemasa

Bangladesh, PBB menandatangani MoU isu pelarian Rohingya

DHAKA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Bangladesh akhirnya memeterai janji berkenaan pulau Bhasan Char yang akan dijadikan kerangka perlindungan dan dasar bersama sebagai tindak balas isu kemanusiaan Rohingya, lapor agensi berita Anadolu.

Memorandum persefaham (MoU) tersebut ditandatangani Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mewakili PBB.

Perjanjian dimeterai bertujuan membenarkan jalinan kerjasama antara kerajaan Bangladesh dan PBB berkaitan perkhidmatan serta, aktiviti susulan peningkatan pelarian Rohingya di kawasan itu.

“Ia meliputi aspek penting perlindungan, pendidikan, latihan kemahiran, mata pencarian dan kesihatan, yang akan membantu menyokong pelarian untuk kehidupan lebih baik di pulau itu selain menyediakan mereka untuk kembali ke Myanmar pada masa hadapan,” kata kenyataan berkenaan.

Dilaporkan seramai 1.2 juta bangsa Rohingya kini berada di kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh selepas peristiwa kekejaman tentera Myanmar di Rakhine pada Ogos 2017.

Pulau Bhasan Char yang kini menempatkan 20,000 pelarian Rohingya terletak 50 kilometer di luar pantai barat daya negara itu dan sejauh 193 kilometer dari ibu negara, Dhaka.

Kerajaan membina 1,400 rumah kluster dengan setiap premis itu itu akan mempunyai 16 bilik.

Terdahulu, PBB mengadakan perbincangan bersama komuniti Rohingya di Cox’s Bazar.

Dalam perkembangan lain, PBB juga menggesa komuniti antarabangsa untuk sama-sama menyokong usaha itu dengan mengadakan Pelan Tindakan Bersama untuk Tindak Balas Kemanusiaan Rohingya di Cox’s Bazar yang kini berdepan kekurangan dana.

“Sokongan ini perlu berterusan sehingga pelarian ini mampu kembali ke Myanmar dengan selamat, sukarela, bermaruah dan mampu bangkit yang menjadi keutamaan PBB serta kerajaan Bangladesh, juga pelarian Rohingya sekali gus,” katanya.

Kerajaan Bangladesh membelanjakan kira-kira AS$350 juta (RM1.5 bilion) membina perlindungan di pulau seluas 53 kilometer persegi itu, yang terbentuk di laut sekitar 20 tahun lalu.

Bangladesh dipuji kerana menerima pelarian terbabit dan berjaya menempatkan mereka dalam satu kawasan kekal.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button