Bangkai buaya tembaga ditemui di Pantai Cermin
PORT DICKSON : Bangkai seekor buaya tembaga dewasa seberat sekitar 100 kilogram (kg) ditemui berhampiran Pantai Cermin, di sini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, buaya jantan sepanjang dua meter dianggarkan sudah mati sehari dua lalu.
Menurutnya, Pejabat Perhilitan Daerah Seremban mendapat maklumat berhubung penemuan bangkai Buaya Tembaga daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWM Port Dickson kira-kira jam 9.10 pagi.
“Untuk tindakan lanjut, pasukan Perhilitan Daerah Seremban dengan diiringi pejabat Pusat Pendidikan Biodiversiti (PPBD) Tanjung Tuan di Melaka telah dihantar ke kawasan aduan.”
“Mayat buaya itu dibawa ke pejabat Perhilitan untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.” tambahnya.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM