BanjirSemasa

Ban pecah punca air naik di Dengkil

SEPANG : Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka ekoran beberapa kawasan di sekitar Dengkil dinaiki air.

Dilaporkan hujan lebat sejak jam 1 tengah hari semalam menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan di daerah itu.

Menurut Pegawai Tugas-Tugas Khas MAPIM, Leftenan Syahir Syahrumi, setakat semalam air naik sehingga mencecah paras lutut.

Tambah beliau, pegawai tugas-tugas khas MAPIM hari ini akan melakukan tinjauan semula bagi melihat keadaan susulan banjir di daerah itu.

“Sekejap lagi, kami pasukan tugas khas MAPIM akan jalankan tinjauan susulan ke pusat pemindahan sementara dan sekitar kawasan ban pecah.” katanya ketika dihubungi UmmahToday.

Sementara itu, di Taman Dataran Abadi, Kampung Labu Lanjut, sebanyak 100 rumah dilanda banjir kilat akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Merujuk pada hantaran di laman Facebook MyDengkil, setakat ini keadaan banjir di daerah tersebut air masih tinggi di beberapa kawasan iaitu Kampung Chemperai , Batu 30 , Kampung Sri Tanjung , Kampung Lalang , Kampung Revolusi Hijau , Taman Permata , Taman Baiduri , Taman Desa Jenderam Hilir , Kampung Orang Asli Jenderam Batu 28, Taman Lestari Mewah , Taman Mas dan Taman Kristal.

Dalam pada itu, PPS yang dibuka adalah Balairaya Kampung Orang Asli Bukit Tampoi , Dewan Jenderam Hilir, Dewan Majlis Perbandaran Sepang Taman Gemilang dan Dewan Majlis Perbandaran Sepang Kampung Dato Ahmd Razali dan Sekolah Rendah Agama Dengkil.
Setakat jam 9:00 malam tadi, paras Sungai Langat di Dengkil menunjukkan bacaan di tahap Bahaya.
Penduduk tempatan diminta untuk sentiasa berhati-hati dan patuhi arahan Pihak Pengurusan Bencana sekiranya diarahkan berpindah.
Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button