Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
KUALA LUMPUR : Semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga bawah 18 tahun disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai langkah tambahan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 langkah itu dilakukan dengan mengambil kira perhimpunan ramai serta membabitkan jemaah haji dari seluruh dunia.
Tambahnya lagi, bakal jemaah haji yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk terutama inidividu berusia 60 tahun dan ke atas serta individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“KKM kini menyarankan agar semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga bawah 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.
“Syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.
“Bagi remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya,” katanya.
Khairy berkata, dalam selang masa dua minggu sebelum atau selepas vaksin lain diberikan vaksin Covid-19 boleh diberikan.
“Saranan ini kerana memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, jadi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 boleh diberikan dalam selang masa dua minggu sebelum atau selepas vaksin diberikan.
“Bakal jemaah hajiitu boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi beri kebenaran kepada sejuta jemaah haji dari semua negara untuk melaksanakan ibadah haji pada tahun ini, selepas dua tahun ia ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Kouta haji yang ditawarkan kepada Malaysia pada tahun ini dihadkan kepada 45 peratus daripada kuota pada tahun 2019 iaitu 14,306 orang jemaah berbanding 31,600 orang.