DomestikEkonomiSemasa

Bahan mentah mahal menyebabkan harga simen naik

Seremban: Kenaikan harga barang mentah yang digunakan dalam proses pembuatan, khususnya arang batu di pasaran antarabangsa mendorong kenaikan harga simen sekarang.

Pengarah Urusan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) Sharuddin Omar Hashim berkata, arang batu yang kini merangkumi 30% hingga 40% daripada kos pengeluaran simen, sekali gus menyebabkan bahan mentah mengalami kenaikan harga manakala, syarikat pembuatan tiada pilihan selain menaikkan harga.

Menurut beliau, kenaikan harga arang batu sekarang didorong oleh konflik antara Rusia dan Ukraine serta larangan eksport Indonesia.

“Harga arang batu sebelum ini berada dalam lingkungan AS$60 (RM252) hingga AS$70 (RM294) satu tan, tetapi kini meningkat kepada AS$200 (RM842) satu tan dan mungkin mencecah sehingga AS$400 (RM 1,685).

“Larangan eksport dari Indonesia ke negara lain, serta konflik Rusia-Ukraine, menyebabkan kesukaran mendapatkan bekalan arang batu, sekali gus menyebabkan harga bahan mentah menjadi tinggi,” katanya kepada pemberita pada majlis taklimat dan penghargaan media di sini pada Selasa.

Menurut beliau, selain masalah kesesakan dari segi logistik dan pengedaran disebabkan penularan wabak Covid-19, harga bahan mentah lain dalam pengeluaran simen turut meningkat dengan agak tinggi.

Sharuddin berkata, syarikatnya cuba sedaya-upaya untuk mengoptimumkan pengeluaran dan mengurangkan kos pengeluaran melalui penggunaan bahan alternatif lain.

– Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button