Semasa

Hakimah cipta sejarah, wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM baharu

PUTRAJAYA : Sejarah telah tercipta di mana buat pertama kalinya, kaum wanita akan menerajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai ketua pengarah iaitu Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang akan berkuatkuasa pada 21 Mac ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Zuki Ali dalam satu kenyataan mengucapkan tahniah di atas pelantikan Datuk Hakimah yang dilantik berdasarkan perkhidmatan beliau selama 30 tahun khususnya dalam agensi tersebut.

“Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim pada 1992 dan beliau juga sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.

“Pelantikan ini menjadi sejarah kepada JAKIM, apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Hakimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) daripada Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.

Pelantikan Hakimah sebagai Ketua Pengarah JAKIM bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu.

Terdahulu, jawatan Ketua Pengarah Jakim kosong sejak November tahun lalu selepas Datuk Abdul Aziz Jusoh bersara wajib.

“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button