DuniaSemasa

“Bagaimana jika kerajaan tidak berjaya mengawalnya?” protes aktivis

Dua aktivis protes dengan cara gam diri pada rangka dinosaur

BERLIN: Dua aktivis alam sekitar melekatkan diri pada tiang logam yang menyokong rangka tulang dinosaur di Muzium Sejarah Alam Berlin pada Ahad sebagai protes membantah dasar iklim kerajaan Jerman.

Ia adalah aksi terbaharu pejuang iklim di dalam sebuah muzium, selepas karya seni terkenal disasarkan dengan cara yang berbeza di seluruh Eropah.

Di Berlin, dua wanita yang memakai jaket oren melekat pada tiang logam yang menyokong rangka dinosaur yang berusia lebih 60 juta tahun sambil memegang sepanduk bertulis: “Bagaimanakah jika kerajaan tidak berjaya mengawalnya?”

Salah seorang aktivis berkenaan, Caris Connell berkata, dia takut kebakaran hutan, kekurangan air, kelaparan dan peperangan.

“Dinosaur mati kerana mereka tidak dapat menahan perubahan besar yang berlaku pada iklim dunia. Itu juga kini mengancam kita,” tambahnya kepada agensi media AFP.

Solvig Schinkoethe, seorang lagi aktivis berkata, sebagai ibu kepada empat anak, dia berasa bimbang dengan masalah perubahan iklim.

“Penentangan secara aman adalah cara yang kami pilih untuk melindungi anak-anak kami daripada kejahilan kerajaan yang boleh membawa maut,” kata wanita berusia 42 tahun itu.

Mereka menggesa kerajaan di Berlin mengambil langkah pantas untuk mengurangkan pelepasan karbon seperti menetapkan had laju di lebuh raya dan memperkenalkan pengangkutan awam yang lebih berpatutan.

Pihak muzium berkata, polis menamatkan protes berkenaan dalam masa kurang sejam.

Tambah pihak muzium, terdapat kerosakan harta benda pada artifak di muzium dan tuduhan jenayah telah pun difailkan.

Aktivis tersebut adalah daripada kumpulan Last Generation yang sebelum ini menyimbah kentang tumbuk pada lukisan Les Meules milik Claude Monet bernilai RM524.86 juta (USD$111 juta) di Muzium Barberini di Potsdam, Jerman.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button