Semasa

“Makkah Route” akan diteruskan buat jemaah Malaysia

KUALA LUMPUR : Makkah Route ataupun prapelepasan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji ini bakal diteruskan dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, tiada lagi prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu sekaligus memudahkan proses kemasukan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.

“Sebaik tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah para jemaah tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam kerana pasukan Imigresen dan Kastam Arab Saudi akan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memeriksa pasport jemaah haji.

“Jemaah haji akan terus menaiki bas ke hotel masing-masing sama ada di Madinah atau di Makkah, manakala beg mereka akan diuruskan pihak agensi dari Arab Saudi untuk dihantar ke hotel.

“Proses ini bukan sahaja tidak mengambil masa lama, malah memberi kemudahan yang sangat baik kepada bakal haji,” katanya.

Untuk tahun ini, Syed Saleh berkata, perkhidmatan Malaysia Airlines Berhad dan SAUDIA Airlines (SAUDIA) akan digunakan bagi membawa bakal jemaah haji.

“Dua syarikat penerbangan tersebut akan menerbangkan secara sama rata setiap hari dengan penerbangan pertama akan berlepas pada 4 Jun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, pihak TH akan mengeluarkan surat jadual penerbangan kepada bakal haji secara berperingkat mulai minggu hadapan.

Beliau turut mengingatkan jemaah supaya melakukan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dalam tempoh 48 jam sebelum melapor diri di stesen pelepasan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button