KerohanianSemasa
Awas `Geng ponteng puasa’!
Restoran, kedai makan sering dikunjungi kaki ponteng puasa dipantau
ALOR SETAR 12 April : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mempergiatkan pemantauan di 71 restoran dan kedai makan di negeri ini yang dikenal pasti sering dikunjungi kaki ‘ponteng puasa’ pada bulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Datuk Najmi Ahmad berkata sebanyak 200 anggota dan pegawai penguat kuasa JHEAIK akan melakukan penguatkuasaan bagi mengambil tindakan ke atas individu dan peniaga yang terlibat.
“Kebiasaannya, orang yang menjalankan perniagaan semasa bulan puasa ini adalah orang yang sama setiap tahun dan mungkin sudah menjadi tabiat mereka setiap kali menjelang Ramadan (menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa).” – Pengerusi J/kuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah / Datuk Najmi Ahmad
Datuk Najmi berkata bagi peniaga makanan yang beroperasi pada waktu tidak munasabah sepanjang Ramadan ini, pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan ditetapkan.
“Waktu munasabah untuk menjual makanan pada bulan puasa adalah bermula jam 3:00 atau 4:00 petang dan kalau ada kedai yang menjual nasi campur pukul 10 pagi, itu memang tidak logik sama sekali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam di negeri ini supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian dan berharap masyarakat dapat menyalurkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan perkara berkenaan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
Dii IPOH, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengesan sekurang-kurangnya tiga lokasi utama ‘geng plastik hitam’ di bandar raya ini yang bakal digunakan sesetengah pihak untuk memonteng puasa sewaktu bulan Ramadan yang dijadual bermula esok.
Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin berkata pihaknya telah bersiap sedia dengan penglibatan 100 orang penguat kuasa untuk menyerbu lokasi berkenaan sekali gus menahan sesetengah pihak yang memonteng puasa dengan pelbagai alasan yang diberikan.
“Kadang-kadang individu geng plastik hitam ini akan memberi alasan kononnya membeli makanan untuk orang lain, keuzuran atau menjaga mak yang sakit (sebelum curi-curi makan). Kebiasaannya, kita akan menasihatkan mereka terlebih dahulu kerana alasan yang paling popular digunakan ialah lapar dan ketagih rokok. Namun demikian, tindakan yang lebih tegas akan diambil sekiranya mereka ditahan kerana ponteng puasa,” – Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin
Menurut Datuk Mohd Yusop, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh ditahan dan dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika didapati bersalah makan dan minum di khalayak ramai sepanjang Ramadan nanti.