DuniaSemasa

Australia Barat diramal akan berlaku kebakaran hutan tahap malapetaka

AUSTRALIA BARAT: Pihak berkuasa Australia Barat mengeluarkan amaran berhubung ramalan ‘kebakaran tahap ekstrem hingga malapetaka’ susulan kebakaran hutan luar kawalan di negeri itu.

Susulan arahan itu, ratusan keluarga terpaksa berpindah ke tempat selamat.

Lebih 2,300 hektar kawasan terbakar sejak beberapa hari lalu di barat bandar pelancongan Denmark, yang terletak kira-kira 420 kilometer di selatan Perth, dengan api bertambah marak akibat angin kencang dan suhu tinggi.

“Kami meramalkan gelombang haba yang teruk dan bahaya tahap ekstrim hingga malapetaka pada Ahad,” kata Biro Meteorologi Australia Barat menerusi Twitter, hari ini.

Ketua Menteri Australia Barat, Mark McGowan, menggesa penduduk di kawasan berisiko untuk mematuhi saranan perkhidmatan kecemasan, meminta orang ramai berpindah jika keadaan selamat dan tidak kembali ke kediaman mereka.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) hari ini melaporkan, sejumlah keluarga sudah bertindak berpindah dari kediaman masing-masing.

Kebakaran hutan adalah insiden yang kerap berlaku ketika cuaca panas di Australia, akibat suhu tinggi, keadaan kering dan tanaman yang mudah terbakar.

Pada musim panas 2019 hingga 2020, seramai 33 individu terbunuh, termasuk sembilan anggota bomba akibat kebakaran hutan di kawasan seluas lebih 17 juta hektar, iaitu hampir separuh keluasan Jerman. – AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button