NABLUS, 22 Okt — Seorang kanak-kanak Palestin cedera selepas ditembak oleh askar Israel di kampung Madama, selatan Nablus, Tebing Barat yang diduduki, pada malam Isnin.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), kanak-kanak berusia 15 tahun itu ditembak di bahagian paha menggunakan peluru hidup. Pasukan perubatan PRCS segera memberikan rawatan kepada mangsa sebelum membawanya ke hospital di Nablus.
Datuk Bandar Madama, Abdullah Ziyada, memaklumkan bahawa tentera Israel telah menceroboh kampung tersebut, menutup jalan dan melepaskan tembakan peluru hidup, peluru getah bersalut keluli, serta bom gas untuk menyuraikan protes yang berlaku.
“Ramai pemuda ditahan, diserang, dan disoal siasat oleh askar Israel yang memeriksa kad pengenalan mereka,” tambah Ziyada.
Dalam kejadian lain pada hari yang sama, seorang pemuda Palestin dilaporkan cedera parah selepas ditembak oleh askar Israel ketika pasukan itu menyerbu kawasan “Bab al-Zawiya” di tengah bandar Hebron, Tebing Barat selatan.
Pasukan Israel turut melepaskan tembakan ke arah dua lagi pemuda Palestin dan menculik lapan orang di kampung Deir Abu Mash’al, barat laut Ramallah, serta tiga lagi di beberapa kawasan lain di wilayah Ramallah dan Al-Biereh.
Pada awal pagi Isnin, askar Israel melancarkan serbuan besar-besaran di beberapa kejiranan di wilayah Ramallah dan Al-Biereh, selain menculik enam warga Palestin, termasuk dua kanak-kanak, dari rumah mereka di wilayah Bethlehem, selatan Baitulmaqdis yang diduduki.
SUMBER: IMEMC