JAKARTA: Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) memaklumkan, musim kemarau bagi wilayah Asia Tenggara, termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand sudah bermula.
Permulaan Monsun Barat Daya dikaitkan dengan musim tersebut dan berkemungkinan akan berlanjutan hingga Oktober 2022.
“Fenomena cuaca La Nina di Lautan Pasifik Khatulistiwa diramalkan akan terus berkurangan dan dijangka kekal tidak berubah sepanjang tahun ini,” kata ASMC dalam satu kenyataan.
Sementara itu, antara Julai dan Oktober 2022 fenomena iklim La Nina dan fasa negatif Dipole Lautan Hindi (IOD) dijangka membawa hujan lebat ke wilayah ini.
Tambahan pula, ASMC turut memberi amaran ketika cuaca kering dan panas yang berpanjangan untuk tempoh beberapa bulan akan datang ini boleh menyebabkan risiko kebakaran dan jerebu.
Oleh itu, ASMC menggesa untuk mengambil langkah pencegahan dan berwaspada bagi mengurangkan kejadian kebakaran ini berlaku.
Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan, negara ketika ini berada dalam musim Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei dan berterusan sehingga pertengahan September 2022.
“Keadaan ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak daripada bilangan hari hujan,” katanya.