Aset Sultan Johor digerakkan bantu mangsa banjir
JOHOR BAHRU: Tiga aset milik DYMM Sultan Johor iaitu Air Boat berkuasa tinggi digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa-mangsa banjir pada Sabtu.
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan aset milik Baginda itu digunakan bagi tujuan berkenaan berikutan banjir melanda beberapa daerah di negeri ini.
Air Boat Baginda Tuanku Sultan digunakan bagi tujuan penghantaraan bekalan makanan ke penempatan Orang Asli yang terputus hubungan.
Air Boat itu dikemudi oleh YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang kemudian membawa bekalan makanan ke Kampung Orang Asli Pucur di Kahang.
Tunku Abu Bakar mengemudi bot berkenaan selama hampir 40 minit menyusuri Sungai Kahang, dalam keadaan hujan lebat sebelum menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir.
Operasi turut disertai anggota PPDA JBPM Johor, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dan ADUN Kahang, V Vidyananthan.