WASHINGTON : Rakyat Amerika Syarikat digesa untuk tidak berkunjung ke Jerman dan Denmark berikutan peningkatan penularan Covid-19 di Eropah.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata bakal pengembara juga diberi amaran akan ada sekatan yang menjejaskan kemasukan warga AS ke Denmark.
Nasihat perjalanan Tahap 4 iaitu tahap tertinggi untuk kedua-dua negara telah dikeluarkan, sekali gus menunjukkan tahap Covid-19 yang sangat tinggi di negara berkenaan.
Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn dilaporkan memberi amaran bahawa majoriti rakyat Jerman perlu disuntik vaksin, dirawat hingga sembuh atau akan mati akibat Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan ini.
Kembalinya Eropah sebagai pusat wabak dikaitkan dengan program vaksinasi perlahan di beberapa negara selain penyebaran varian Delta yang mudah menular dan cuaca lebih sejuk.
Di Jerman, hanya 68 peratus penduduknya telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Bagi menangani keberkesanan vaksin yang semakin berkurangan selepas enam bulan, negara itu menggesa semua individu dewasa yang diberi vaksin untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
Dengan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) terisi dengan cepat, Jerman yang teruk terjejas akibat penularan Covid-19 mengarahkan perintah kawalan pergerakan baharu, termasuk penutupan pasar menjelas Krismas.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar